Pelita buluh dari Melaka 'menyala' hingga ke Singapura, Brunei

Shuhada Abdul Kadir
April 13, 2022 14:32 MYT
Nazri Md Yusoff dan isterinya, tidak menyangka pelita buluh buatan mereka turut menarik perhatian masyarakat Singapura dan Brunei. - Gambar Astro AWANI
ALOR GAJAH: Tebang buluh di Melaka, menyala di Singapura dan Brunei!
Siapa sangka buluh yang tidak dipandang orang rupa-rupanya boleh bertukar menjadi rezeki.
Hanya bermula sebagai hobi, Nazri Md Yusoff, 41, dan isterinya, Kamsiah Khamis, 38, tidak pernah menduga perniagaan pelita buluh yang diusahakan mereka menawarkan rezeki setiap kali Ramadan menjelma.
Asalnya, pelita buluh itu dijadikan perhiasan di sekitar kedai makan mereka di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, sejak tahun 2014 lalu.
Namun kini, berikutan permintaan daripada orang ramai, suami isteri itu mampu meraih jualan puluhan ribu ringgit.
Nilai jualan itu berjaya diraih dengan sambutan pelanggan dari dalam dan luar negara, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menceritakan hal itu, Nazri berkata, dengan harga serendah RM15 sebatang pelita buluh sepanjang lima kaki itu, pasangan terbabit mampu menjual lebih 1,000 batang dalam tempoh sebulan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Hanya mempromosi menggunakan medium Facebook, mereka kini juga sudah mempunyai beberapa ejen di seluruh negara.
Berbeza dengan tahun sebelum ini, mereka memperkenalkan tiga pilihan pelita buluh iaitu pelita panjut biasa yang menggunakan minyak gas, pelita bertingkat dan inovasi terbaharu idea mereka iaitu ‘pelita L.E.D’ yang menggunakan bateri.
“Tahun ini Alhamdulillah jualan sangat memberangsangkan kerana kita ada tiga jenis pelita buluh dengan satu inovasi terbaharu kami iaitu menggunakan lampu LED yang menggunakan bateri sahaja.
“Lagi dua jenis itu ialah pelita panjut yang menggunakan sumbu biasa dan tahun ini juga kita jual pelita bertingkat yang mana setiap satu pelita buluh mengambil masa antara 15 minit hingga setengah jam untuk disiapkan,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.
Secara peribadi, Nazri berkata, keunikan pelita panjut buatan mereka menyebabkan permintaan terhadap produk itu semakin meningkat saban tahun.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Sementara itu, isterinya, Kamsiah la berkata, pada peringkat awal pasaran, pelita buluh yang dihasilkan mereka hanya dibeli oleh masyarakat di sekitar Melaka sahaja.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, mereka turut menerima tempahan dari Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Singapura dan Brunei.
Jelasnya, disebabkan kekangan tenaga kerja, dia dan suami menggunakan sepenuh kudrat mereka untuk menebang buluh di kawasan hutan berhampiran dengan izin pemilik tanah.
Katanya, dia dan suami memulakan kerja-kerja membuat pelita itu seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari dan mampu menyiapkan kira-kira 50 batang pelita.
“Setakat ni untuk seminggu sebelum puasa sampai sekarang ni kita sudah kirim ke Brunei dan Singapura. Alhamdulillah maklum balas pelanggan memang puas hati lebih-lebih lagi dengan pelita terbaharu jenis LED ini.
“Mula-mula kami cuba-cuba sahaja pasang sendiri dan letak di kedai makan kami, tak sangka pula ramai yang minat dan kami pun buat keputusan buka juga untuk jualan,” jelasnya lagi.
Tambah Kamsiah, sambutan tahun ini nyata luar biasa memandangkan baru beberapa hari Ramadan mereka sudah menerima tempahan hampir 1,000 batang pelita buluh.
Katanya, dia percaya tempahan itu akan meningkat lagi pada 10 malam terakhir Ramadan kelak.
#pelita buluh #pelita panjut #Ramadan #Melaka
;