Pelindung pengusaha pusat judi haram akan diambil tindakan
Astro Awani
Mei 27, 2017 11:32 MYT
Mei 27, 2017 11:32 MYT
Mana-mana pihak yang bersekongkol dengan pengusaha pusat judi haram, termasuk anggota polis, yang memberi perlindungan akan diambil tindakan keras.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata setakat ini polis Sentul berjaya membuat 333 serbuan dan menahan 260 orang termasuk pengusaha pusat judi haram.
Menurut Munusamy, pengusaha pusat judi haram sekarang semakin licik dengan memulakan operasi lewat malam bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kepada sesiapa yang memberi perlindungan, sama ada dengan memberi maklumat atau bantuan kepada sindiket perjudian ini, saya tegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat dan bersekongkol termasuk anggota polis, dengan mana mana sindiket perjudian,” katanya.
Dalam pada itu, operasi dadu yang dilakukan polis bahagian IPD Sentul berjaya memberkas dua penjaga premis dan lima tahi judi beragama Islam.
Semasa serbuan, beberapa pemuda sedang leka bermain judi walaupun di bulan Ramadan malah penjaga premis beragama Islam juga tidak segan silu menjalankan kegiatan.
Sebanyak 22 komputer perjudian online serta empat mesin slot dirampas.
Pertaruhan dibenarkan sehingga RM100,000 dan premis ini juga dipercayai menjalankan operasi 24 jam.
Sejumlah wang tunai hasil judi lebih RM1,000 turut dirampas.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan lanjut.