Pelihara, pulihara bangunan bersejarah, titah Sultan Selangor
Ridauddin Daud
Januari 31, 2021 17:27 MYT
Januari 31, 2021 17:27 MYT
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menasihatkan kementerian dan jabatan berkaitan agar melakukan pemuliharaan dan pemeliharaan lebih intensif terhadap bangunan bersejarah yang ada kaitan dengan Selangor.
Titah baginda, kebanyakan bangunan itu yang terletak di sekitar Kuala Lumpur memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi serta masih menjadi tumpuan destinasi pelancongan di ibu negara.
Mengambil contoh Bangunan Sultan Abdul Samad, Sultan Sharafuddin bertitah, bangunan itu pernah menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor bahkan baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam di bangunan itu pada 1968.
“Seni bina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur ini juga mempunyai cerita unik tersendiri dan seharusnya dipulihara untuk dihargai dan dikagumi oleh generasi akan datang.
“Sekiranya bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya nanti ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi.
“Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merugikan negara,” titah baginda sempena Hari Wilayah 2021 dalam satu kenyataan dikongsikan Istana Alam Shah pada Ahad.
Titah baginda lagi, bangunan bersejarah lain seperti Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTM, Istana Negara Lama serta Stadium Merdeka sarat dengan kisah sejarah pembentukan Malaysia.
Bahkan menurut baginda, kebanyakan daripadanya juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal negeri Selangor.
#Sultan Selangor
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Kuala Lumpur
#pelancongan
#sejarah
#bagunan
#bangunan bersejarah
#Carcosa Seri Negara
#Bangunan Sultan Abdul Samad
#Istana
#Istana Alam Shah