Pelihara bahasa etnik sebagai ejen kukuh perpaduan masyarakat - Aaron

Bernama
September 21, 2023 04:30 MYT
Bahasa etnik merupakan khazanah warisan negara yang harus dipelihara supaya tidak luput dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. - Gambar fail BERNAMA
KOTA KINABALU: Bahasa etnik merupakan khazanah warisan negara yang harus dipelihara supaya tidak luput dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Katanya, ini kerana bahasa mampu memainkan peranan bukan hanya sebagai suatu warisan, tetapi juga ejen pengukuh perpaduan antara kaum dan etnik di negara ini apabila masyarakat berbilang latar belakang itu memahami bahasa digunakan antara satu lain sekali gus mewujudkan persefahaman jitu.
Beliau berkata, Sabah sendiri mempunyai 33 kumpulan pribumi berkomunikasi dengan 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
"Justeru penganjuran program-program bicara bahasa merupakan salah satu langkah proaktif untuk memartabatkan bahasa serta elemen-elemen tradisi, seni serta budaya di negara ini.
"Penganjuran program ini dilihat mampu mengangkat dan memartabatkan elemen-elemen tradisi, seni serta budaya amnya dan bahasa khususnya sebagai ejen perpaduan kaum di negara ini," katanya.
Aaron berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau merasmikan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti Telusuri Bayu Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Katanya, pelaksanaan program itu selari dengan inisiatif 'Ini Warisan Kita' yang dibawa oleh Kementerian Perpaduan Negara dan dilaksanakan melalui Arkib Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Program sehari yang disertai 250 peserta itu bertujuan memberi pendedahan mengenai penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan etnik di Sabah di samping mendokumentasikan budaya unik ini untuk dijadikan bahan rujukan dan penyelidikan. - BERNAMA
#bahasa etnik #pengukuh perpaduan #kumpulan pribumi #langkah proaktif
;