'Peletupan kuari perlu dilakukan pembedil bertauliah'

Bernama
Februari 26, 2024 06:00 MYT
Pemantauan gegaran bumi dan ledakan udara menggunakan seismometer juga perlu dilakukan di lokasi kepentingan awam berhampiran atau mana-mana lokasi yang diarahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). - Gambar fail
IPOH: Kerja peletupan di kawasan kuari perlu dilaksanakan oleh pembedil bertauliah dan diawasi jurutera perunding bagi memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menyebabkan impak negatif kepada bangunan serta orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata pemantauan gegaran bumi dan ledakan udara menggunakan seismometer juga perlu dilakukan di lokasi kepentingan awam berhampiran atau mana-mana lokasi yang diarahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Beliau berkata kerja-kerja pemantauan juga perlu dilaksanakan oleh pengusaha kuari sendiri atau melalui jurutera perunding dengan keputusan pemantauan hendaklah direkodkan dan dikemukakan kepada JMG secara berkala.
Menurutnya syarat-syarat ketat yang dikenakan terhadap aktiviti peletupan merangkumi reka bentuk letupan, pembedil yang bertauliah, waktu letupan, had parameter gegaran bumi dan ledakan udara.
"Di samping itu, cadangan reka bentuk letupan yang disediakan oleh pembedil bertauliah perlulah disahkan oleh Jurutera Perunding Perlombongan seterusnya hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum kerja peletupan dilaksanakan," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Teh berkata demikian ketika menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) yang ingin tahu sejauh mana pemantauan pihak kerajaan negeri bagi memastikan aktiviti kuari tidak mengganggu ekosistem alam sekitar, termasuk dari sudut pencemaran udara, habitat hidupan liar serta risiko banjir kawasan berdekatan.
Sementara itu, Teh berkata setiap aktiviti kuari yang dijalankan di Perak tidak mengganggu ekosistem alam sekitar dan antara tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa negeri adalah menerusi pengeluaran Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya bagi tanah kuari.
Beliau berkata tindakan itu selaras dengan pindaan Kanun Tanah Negara 2008 yang telah mengklasifikasikan batu kapur dan batu granit sebagai bahan mineral.
Katanya langkah tersebut adalah bagi memastikan pengawalan aktiviti pengkuarian di Perak ditadbir dan dikawal selia di bawah Enakmen Mineral (Perak) 2003 dan Akta Pembangunan Mineral 1994.
"Dengan pelaksanaan ini, setiap lot tanah kuari yang diluluskan untuk tujuan pengeluaran atau aktiviti pengorekan batu dikenakan bayaran bagi Kumpulan Wang Pemulihan Bersama (KWPB) setiap tahun sehingga tempoh Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya tamat.
"KWPB ditadbir oleh pihak berkuasa negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bagi tujuan pemulihan tanah kuari termasuk kawasan infrastruktur yang terlibat dan mana-mana kawasan sekeliling yang terjejas daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian," katanya.
-- BERNAMA
#Perak #letupan kuari #proses letup kuari #Sidang Dewan