Peletakan jawatan Terence Gomez, SPRM perlu nyata pendirian - #RasuahBusters

Faris Danial Razi
Disember 28, 2021 19:03 MYT
Ketua Sekretariat, Nurhayati Nordin berpandangan, konflik kepentingan membabitkan dakwaan pegawai tinggi SPRM adalah isu etika yang harus diperhatikan oleh semua kepimpinan politik, badan berwajib dan organisasi. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu tampil dan bertanggungjawab menyatakan pendirian bagi meleraikan kekusutan rakyat susulan peletakan jawatan Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel suruhanjaya itu, tegas #RasuahBusters.
Menurut #RasuahBusters, tindakan yang diambil oleh Edmund membuktikan bahawa rakyat tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan tidak beretika khususnya yang berkait rapat dengan institusi yang bertanggungjawab memastikan sistem keadilan dan demokrasi negara berjalan dengan berkesan.
Ketua Sekretariatnya, Nurhayati Nordin menegaskan, konflik kepentingan membabitkan dakwaan pegawai tinggi SPRM adalah isu etika yang harus diperhatikan oleh semua kepimpinan politik, badan berwajib dan organisasi.
“Konflik kepentingan bukan isu remeh yang dipejamkan mata dan membiarkan ianya menjadi norma yang hidup dalam ‘vicious cycle’.
“Piawaian moral badan berwajib harus melihat isu konflik kepentingan ini sebagai suatu sel penyakit yang membunuh integriti secara senyap.
“Kepentingan konflik peribadi yang tidak ditangani menyebabkan ketirisan pelbagai hal tadbir-urus, prosedur dan tentunya penyalah gunaan kedudukan yang disebabkan pengaruh kepentingan tertentu.
“Bagi memastikan SPRM atau mana-mana badan dapat berfungsi dengan sempurna, pengaruh ini harus dielakkan,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
SPRM | Terence Gomez letak jawatan ahli panel SPRM
BACA: Terence Gomez letak jawatan ahli panel SPRM
Nurhayati berkata demikian sebagai mengulas tindakan Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.
Edmund yang juga seorang ahli ekonomi dalam surat peletakan jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa' dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.
Sehubungan itu, Nurhayati menyatakan kembimbangan rakyat akan hilang kepercayaan jika institusi yang seharusnya dihormati ini terus menerus memberikan gambaran negatif.
“Rakyat akan hilang kepercayaan dan lebih buruk lagi, mengambil keputusan ditangan sendiri. Ini pastinya akan lebih menggugat keharmonian dan merosakkan imej negara.
“Negara ini perlu pulih dan ia harus bermula daripada kepimpinan dan badan yang mempraktikkan amanah dan integriti serta didokong dengan kebangkitan rakyat yang bertanggungjawab,” tambahnya.
#hilang kepercayaan #SPRM #letak jawatan #integriti #Rasuah
;