Pelesit jalanan pamer aksi berbahaya dicekup polis

Astro Awani
Januari 28, 2018 11:13 MYT
Kesemua samseng jalanan yang ditahan diarahkan menolak motosikal mereka ke IPD Shah Alam. - Astro AWANI
Kelekaan sekumpulan samseng jalanan membuktikan kehebatan masing-masing dengan aksi berbahaya membawa padah apabila lapan daripada mereka dicekup pihak polis di Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.
Operasi yang bermula pukul 11 malam itu berhasil atas pemerhatian Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Malah, kumpulan samseng jalanan itu dilihat cuba mempamerkan kehebatan masing-masing dengan aksi 'Superman', 'Zig Zag' selain membahayakan pengguna kenderaan awam lain.
Kesemua samseng jalanan itu dikesan melakukan aktiviti tidak berfaedah itu bermula dari kilometer 0.2 arah ke Bukit Jelutong hingga ke susur keluar Setia Alam sebelum berpatah balik.
Namun dengan kekuatan dua pegawai dan 12 anggota serta dibantu kakitangan zon tengah Peronda PLUS, laluan terbabit dikepung dan mereka ditangkap ketika berhenti di kilometer 1.7 arah Bukit Jelutong.
Kesemua pelesit jalanan yang ditahan berusia 17 hingga 23 tahun manakala salah seorang daripada mereka memiliki waran tangkap.
Ketua Penolong Pengarah JSPT Bukit Aman, Supritendan Mustafa Bakri Salleh berkata, samseng jalanan itu bertindak mengangkat motosikal mereka menyeberangi pembahagian lebuh raya bagi elak dicekup tetapi tidak berjaya.
"Kita akan meneruskan operasi samseng jalanan ini untuk menangani kegiatan yang bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna lebuh raya lain," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Sebanyak 10 buah motosikal turut disita manakala kesemua suspek ditahan manakala dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Bukit Aman #bukit jelutong #JSPT #Ketua Penolong Pengarah JSPT Bukit Aman #lebuh raya #NKVE #Pelesit Jalanan #polis #samseng jalanan #Setia Alam #Supritendan Mustafa Bakri Salleh #trafik
;