Pelesenan media sosial: Telegram akhirnya beri respon positif
Astro Awani
Disember 4, 2024 22:27 MYT
Disember 4, 2024 22:27 MYT
KUALA LUMPUR: Telegram akhirnya memberi maklum balas positif berhubung pelaksanaan pelesenan media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menerima kunjungan Ketua Operasi dan Pegawai Pematuhan Telegram, Sandeep Yadav pada Rabu.
Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dalam proses memuktamadkan draf kod tatalaku untuk penerbitan sebelum tarikh kuat kuasa kerangka pelesenan media sosial pada 1 Januari 2025.
Matlamat kod tatalaku akan menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta 588.
Telegram sebelum ini menjadi antara platform media sosial yang sukar memberi kerjasama apabila dipanggil oleh kerajaan.
Berdasarkan data Bukit Aman, aplikasi telegram antara 16 medium komunikasi utama yang kerap digunakan bagi penipuan pelaburan.