Pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga 2024 kepada pendeposit Simpan SSPN
Bernama
Jun 17, 2023 19:00 MYT
Jun 17, 2023 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) akan terus menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga 2024 ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim berkata insentif berkenaan menjadikan Simpan SSPN sebagai satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.
"Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan hingga 2024.
"Saya optimis insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata rakyat perlu mengambil peluang ini untuk membuat simpanan melalui Simpan SSPN dan ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lepas mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan hingga 2024.
Menurut kenyataan PTPTN pula, pelepasan cukai itu adalah berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa, dan ibu bapa sebagai pendeposit layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.
Pendeposit Simpan SSPN turut menikmati keistimewaan lain seperti perlindungan takaful, Geran Sepadan hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Setakat 31 Mei, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah RM15.28 bilion melibatkan 5.92 juta akaun.
-- BERNAMA