Pelepasan karbon sifar menjelang 2050 mungkin tertangguh - Majlis Industri Tenaga
Bernama
September 13, 2023 04:15 MYT
September 13, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Industri Tenaga (EIC) telah menyuarakan kebimbangan bahawa sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050 berkemungkinan akan ditangguhkan.
Memetik EIC Survive and Thrive Report 2023, Pengarah Wilayahnya Azman Nasir berkata laporan itu mendapati syarikat rantaian bekalan telah mengalihkan tumpuan mereka kembali kepada minyak dan gas (O&G) terutamanya disebabkan cabaran yang berkaitan dengan ketersediaan kerja yang konsisten dalam tenaga boleh diperbaharui dan cabaran pada keuntungan dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Laporan yang sama juga berkata berdasarkan data Keputusan Pelaburan Kewangan, projek O&G berkemungkinan besar akan meneruskan pembiayaan penuh berbanding teknologi boleh diperbaharui dan teknologi peralihan seperti projek angin darat dan luar persisir serta hidrogen,” katanya.
Azman berkata demikian dalam ucapannya pada acara EIC-Asia Pacific Energy Conversations dan Oil and Gas Asia (OGA) 2023 di sini pada Rabu.
EIC Survive and Thrive Report 2023 yang diterbitkan pada bulan Ogos adalah berdasarkan pandangan daripada 100 pemimpin dalam rantaian bekalan tenaga di seluruh dunia.
Azman berkata penemuan tersebut menimbulkan prospek jurang perbezaan yang semakin meluas antara cita-cita hijau (mesra alam sekitar) dan realiti terhadap perkara yang sebenar dihadapi perniagaan dalam nilai perolehan.
"Akhirnya, penemuan ini menimbulkan kebimbangan bahawa komitmen Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 berkemungkinan ditangguh," kata Azman.
Beliau menekankan bahawa naratif pilihan binari antara bahan api fosil dan RE yang berlaku sejak beberapa tahun selepas Perjanjian Paris, kini dilihat sebagai tidak realistik.
Azman juga menekankan bahawa peralihan tenaga, selaras dengan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050, menimbulkan cabaran kepada industri dan lebih banyak perbualan serta perkongsian pengetahuan diperlukan untuk menangani cabaran tersebut.
Bagaimanapun, beliau memberitahau walaupun waktu mencabar berlaku terhadap masa depan sektor tenaga terdapat tahap kesediaan dan semangat yang tinggi untuk peralihan tenaga dalam kalangan pemain industri utama.
"Perlu diambil perhatian bahawa krisis tenaga datang dengan peluang besar untuk membina dan mengubah semula sistem tenaga global yang lebih berdaya tahan dan mampan.
"Asia sudah diiktiraf sebagai mempunyai potensi besar untuk menjadi hab bagi inisiatif peralihan tenaga dan pelaburan rendah karbon, justeru marilah kita memanfaatkan perkara berkenaan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang tidak sesuai untuk rantau ini," kata Azman.
-- BERNAMA