Pelepasan cukai SSPN: Syed Saddiq desak kerajaan pertimbang semula keputusan

Ridauddin Daud
Mac 28, 2023 17:10 MYT
Syed Saddiq berkata, keputusan seperti itu akan mengundang kemarahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang terkesan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak kerajaan mempertimbangkan semula pembatalan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN.
Menurutnya, perkara itu bukan perkara kecil kerana memberi kesan kewangan yang agak besar kepada golongan pertengahan.
Tambahnya, simpanan SSPN adalah untuk pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli barangan mewah dan kerana itu, beliau berpendapat pelepasan cukai harus dikekalkan.
“Saya merayu kepada kerajaan, kepada keprihatinan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan ini.
“Saya teliti sebab mengapa pelepasan itu tidak dilanjutkan, mereka kata kerana sudah ada insentif pelepasan cukai yang lain seperti pembelian perubatan daripada RM8,000 ke RM10,000. Itu hanya RM2,000.
“RM8,000 (pelepasan cukai SSPN) ini adalah untuk tujuan pendidikan dan akan berterusan untuk tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini pada Selasa.
BACA: Tiada lagi pelepasan cukai untuk pencarum SSPN tahun ini
Tegasnya, keputusan seperti itu akan mengundang kemarahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang terkesan.
Bahkan, katanya, niat mereka untuk melabur bagi pendidikan anak-anak juga mungkin menurun disebabkan tiada lagi insentif sebegitu buat mereka.
Media pada Isnin melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong, berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.
Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #pelepasan cukai #SSPN #Steven Sim
;