Pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada individu lakukan ujian saringan COVID-19

Bernama
Disember 14, 2021 21:55 MYT
Ia termasuk ujian pengesanan kendiri oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada individu yang melakukan ujian pengesanan COVID-19 termasuk ujian pengesanan kendiri oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak merupakan antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata ia terkandung di bawah pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967.
"Pindaan ini berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2022 dan 2023," katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd Shahar berkata pindaan itu turut memasukkan peruntukan perbelanjaan bagi pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi yang dilakukan oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak.
Pada 9 Nov lepas, Mohd Shahar membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama yang melibatkan pindaan ke atas lapan akta untuk melaksanakan langkah Bajet 2022.
Ia melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
#pelepasan cukai #ujian saringan #ujian pengesanan kendiri #RUU Kewangan 2021 #Mohd Shahar Abdullah #Akta Cukai Pendapatan 1967
;