Pelepasan air radioaktif Fukushima: Pemeriksaan tahap 4 terhadap produk makanan dari Jepun
Bernama
Ogos 23, 2023 20:24 MYT
Ogos 23, 2023 20:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata ia susulan pemakluman pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima secara berperingkat bermula esok oleh pihak berkuasa Jepun.
Beliau berkata berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 hingga Jun 2023, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah antara produk tertinggi diimport dari Jepun disusuli produk buah-buahan, sayur-sayuran dan selebihnya makanan dan minuman terproses dengan nilai keseluruhan RM880,115,437.
"KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna terhadap perkara ini. Dalam hal ini, KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata sebelum ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk makanan diimport dari Jepun bermula Mei 2011 hingga April 2012, selepas insiden letupan loji nuklear akibat gempa bumi yang berlaku di Fukushima pada 2011.
"Satu program pemantauan khusus turut dijalankan pada 2019 dengan sebanyak 102 sampel telah dianalisis dan kesemua sampel didapati tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan," katanya.
Berdasarkan laporan akhbar tempatan, pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima mulai esok, adalah mengikut standard keselamatan Jepun yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan telah mendapat kelulusan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai lepas.
-- BERNAMA
#KKM
#Dr Muhammad Radzi Abu Hassan
#pemeriksaan Tahap 4
#produk makanan dari Jepun
#pelepasan air radioaktif Fukushima