Pelepasan air empangan, jangan berada di sungai sekitar Selangor

Afiezy Azaman
Disember 22, 2021 06:07 MYT
LUAS sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan kuantiti takungan empangan-empangan mencukupi untuk bekalan air mentah bagi 34 muka sauk bekalan air di Selangor. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan-kawasan sungai sekitar Selangor berikutan peningkatan kapasiti aliran sungai yang akan menunjukkan sedikit peningkatan.
Peningkatan kapasiti aliran sungai dijangka dari segi paras air dan kuantiti, serta halajunya, apabila berlaku limpahan dan pelepasan air empangan.
Bagaimanapun, menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Izham Hashim, situasi kemungkinan kejadian limpahan air sungai adalah minima.
Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan kuantiti takungan empangan-empangan ini mencukupi untuk bekalan air mentah bagi 34 muka sauk bekalan air di Selangor, terutamanya menjelang musim kemarau.
"Apabila takungan empangan-empangan ini mencapai tahap maksima, lebihan air takungan akan melimpah melalui 'spillway' dan disalurkan ke sungai berhampiran, namun kadar aliran adalah terkawal.
"Manakala prosedur pelepasan air empangan juga dilaksanakan dengan kawalan melalui menara pelepasan air empangan/drawoff tower atau radial gate yang turut dialirkan ke sungai berhampiran merujuk kepada lengkuk operasi empangan/dam operating rule curve yang ditetapkan.
"Ini adalah bagi memastikan kawalan terhadap limpahan di hilir sungai dan keselamatan integriti struktur empangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Selangor, terdapat tujuh empangan yang terdiri daripada Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi di daerah Hulu Selangor, Empangan Tasik Subang di daerah Petaling, Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih di daerah Hulu Langat dan Kolam Off River Storage (ORS) Labu di daerah Sepang yang berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Manakala Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di daerah Gombak adalah merupakan empangan dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama Pengurusan Air Selangor.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh melayari portal Integrated Water Resources Management Systems (IWRIMS) atau memuat turun aplikasi IWRIMS untuk maklumat terkini status paras air empangan Negeri Selangor.
#empangan #LUAS #pelepasan air empangan #Sungai
;