Pelekat warna berbeza untuk barangan dikecualikan GST dipertimbang - Hasan

Bernama
Oktober 16, 2014 07:19 MYT
HASAN: Pelekat warna berbeza untuk barangan dikecualikan GST dipertimbang - Gambar fail
Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melabelkan barangan yang diberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dengan pelekat warna berbeza untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata penggunaan pelekat berwarna pada barangan yang tidak dikenakan CBP dapat mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.
"Ini satu cadangan yang baik. Kita akan bincang bagaimana pelaksanaannya dan akan mengumumkan (hasil) pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melawat premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pada Khamis.
Sebelum itu, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri Zainal Rampak mencadangkan kerajaan supaya melabelkan barangan yang diberi pelepasan CBP.
Ketika membentangkan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lebih 900 barang yang berada dalam 'basket of goods' tidak dikenakan CBP.
Senarai barang berkaitan CBP itu diwartakan pada Isnin.
CBP akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan dan antara yang akan dikecualikan CBP adalah diesel, gas petroleum cecair, semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti tepung gandum penuh serta beberapa produk makanan seperti serbuk kopi dan teh, mi kuning, laksa dan bihun.
Penggunaan pelekat tanda harga berwarna telah lama dilaksanakan bagi barang kawalan pada musim perayaan.
Ditanya sama ada kerajaan akan menambah jumlah barangan yang dikecualikan GST, Hasan berkata kerajaan juga sentiasa melakukan semakan untuk menjaga hak pengguna dan peniaga.
Mengenai Ops Harga sepanjang tahun ini, Hasan berkata kerajaan telah mengambil tindakan terhadap 4,960 peniaga atas pelbagai kesalahan.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan di bawah operasi ini adalah RM920,429.55 dan nilai kompaun sebanyak RM250,130," katanya sambil menambah bahawa 1,327,974 pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini.
Mengenai lawatan di klia2 hari ini, Hasan berpuas hati apabila premis perniagaan di sini mematuhi Perintah Kawalan Harga dengan mempamerkan tanda harga.
"Penandaan harga penting untuk memastikan kepentingan pengguna terpelihara," katanya.
#bajet #GST #hasan #KPDNKK #malek #rampasan #ubat
;