Pelekat kod QR pastikan Harumanis asli
Bernama
April 19, 2018 05:00 MYT
April 19, 2018 05:00 MYT
Jabatan Pertanian Perlis bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi maklumat, mybeecop Sdn Bhd membangunkan sistem kod 'QR' (quick response) yang boleh mengenal pasti pelekat ditampal pada mempelam harumanis asli.
Pengarahnya Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata sistem kod QR tersebut bertujuan membantu pengguna agar tidak tertipu apabila membeli buah ikon Perlis itu.
"Mempelam harumanis dihasilkan ladang-ladang berdaftar dengan Jabatan Pertanian akan diletakkan pelekat tersebut," katanya kepada media selepas pelancaran Festival Harumanis Perlis 2018 oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis Bukit Bintang di Sungai Batu Pahat di sini, pada Khamis.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Zulkepli Amin berkata kod QR yang diimbas akan memaparkan maklumat seperti ladang buah tersebut dikeluarkan, tarikh petik, tarikh masak dan sedia dimakan serta nombor telefon dan nama pengusaha ladang.
"Pengenalan kod QR menjadikan mempelam harumanis buah pertama di Malaysia menggunakan ciri-ciri pintar," katanya, sambil menambah lebih 20 peserta program Amalan Pertanian Baik (MyGAP) menjadi kumpulan pertama menggunakan kod tersebut pada musim yang bermula April ini.
Tuanku Syed Faizuddin dalam titah pelancarannya mahu Jabatan Pertanian memberi perhatian serius terhadap industri mempelam harumanis yang membantu industri agropelancongan negeri.
Baginda bertitah Jabatan Pertanian Perlis turut bekerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menghasilkan pelbagai produk hiliran berasakan harumanis seperti kosmetik dan sabun.
"Produk yang dihasilkan menggabungkan harumanis dengan aiskrim, nasi dagang harumanis, akok harumanis, dadih harumanis dan pau harumanis sebagai contoh, mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemar harumanis," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin mahu pengusaha ladang mempelam harumanis mendaftar dengan Jabatan Pertanian supaya mudah untuk dibantu termasuk tunjuk ajar dan mempelajari ilmu berkaitan penghasilan harumanis berkualti.
-- BERNAMA
#agropelancongan
#Harumanis
#jabatan pertanian
#kod QR
#ladang
#mempelam
#mybeecop
#pelekat QR
#Perlis
#petani
#qr
#Quick Response
#Raja Muda Perlis
#teknologi
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
#Zulkepli Amin Mat Jusoh