Pelbagai usaha dan promosi dijalankan untuk tarik pelancong China dan India ke Pulau Mutiara

Bernama
Disember 6, 2023 09:35 MYT
Ramai pelancong China mengunjungi tempat-tempat bersejarah di Pulau Mutiara berikutan diberi kebenaran visa percuma. Rakyat China dan India diberi visa percuma selama 30 hari untuk kemasukan ke negara ini bermula 1 Disember ini. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Hotel-hotel di Pulau Pinang kini mempergiatkan promosi di luar negara baik secara bersemuka mahu pun dalam talian terutama di China dan India yang ketika ini mendapat pengecualian visa untuk masuk ke negara ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, selain memperkenalkan hotel-hotel dan produk pelancongan di negeri ini, promosi itu turut menawarkan diskaun bilik-bilik hotel.
"Pakej promosi oleh hotel itu memang telah lama dijalankan tetapi sejak kerajaan memperkenalkan pengecualian visa ini kita bersama pihak hotel mempergiatkan promosi supaya dapat menarik lebih ramai pelancong dari negara China dan India ke Pulau Pinang.
"Selain dibuat secara dalam talian menerusi laman sosial dan sesawang hotel, ada juga wakil hotel yang ke negara itu untuk buat promosi secara bersemuka terus kepada pelancong di sana supaya dapat memberi penerangan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Goh berkata, langkah pengecualian visa itu dijangka meningkatkan jumlah pelancong dari China dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha produk pelancongan dan ekonomi negeri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri kini giat menjalankan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan di China supaya diadakan lebih banyak penerbangan terus dari negara itu.
"Setakat ini terdapat dua penerbangan terus dari China ke Pulau Pinang dan tiada penerbangan terus dari India ke negeri ini. Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan di India untuk mengadakan penerbangan terus ke Pulau Pinang," katanya.
Wong berkata, selain itu, mengikut perancangan pihaknya juga akan mengadakan jerayawara di China bersama wakil hotel dan pengusaha produk pelancongan di Pulau Pinang bagi mempromosi negeri ini kepada agensi pelancongan di negara berkenaan awal tahun depan.
"Bagi jerayawara di China, ia adalah serampang dua mata iaitu selain promosi untuk individu atau kumpulan kecil, kami juga menawarkan produk pelancongan untuk kumpulan besar dengan perkhidmatan seminar di Pulau Pinang kerana kita mempunyai beberapa pusat konvensyen yang mampu menampung jumlah yang ramai," katanya sambil memberitahu pihaknya turut menawarkan promosi secara digital.
Pengurus Kampung Agong, Mohamad Ikram Izzat Roslan ketika dihubungi Bernama pula berkata pihaknya turut bekerjasama dengan lebih 20 agensi pelancongan bagi mempromosi Kampung Agong kepada pelancong asing terutama dari China.
"Kami harap dengan pengecualian visa ini lebih ramai yang datang ke sini," katanya.
Kampung Agong, yang terletak di Penaga, Kepala Batas itu berkonsepkan perkampungan tradisional yang memberikan aura berbeza dengan panorama indah, persekitarannya menghijau dan replika seni bina unik seakan-akan berada di pusat percutian di luar negara. - BERNAMA
#pelancong #pengecualian visa #Pelancong China #pelancong India
;