Pelbagai projek pembangunan mega menanti penduduk Padang Besar - Zahidi

Bernama
Ogos 13, 2022 15:04 MYT
Zahidi memberitahu, antara projek sedang dan akan dilakukan adalah projek Perlis Inland Port (PIP), Tank Farm minyak dan gas, serta Hospital Digital Padang Besar. - Gambar fail
PADANG BESAR: Pelbagai projek pembangunan mega yang memberi limpahan manfaat bakal dinikmati oleh masyarakat Padang Besar dan seluruh rakyat di Perlis telah disusun oleh kerajaan persekutuan dan negeri, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
"Antara projek sedang dan akan dilakukan di Padang Besar adalah projek Perlis Inland Port (PIP), Tank Farm minyak dan gas, Hospital Digital Padang Besar dan lain-lain dilakukan bagi membawa pembangunan di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@ Padang Besar di sini hari ini.
Turut hadir barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
Ahli Parlimen Padang Besar itu berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan agar projek-projek mega dapat diteruskan untuk faedah bersama.
Mengulas mengenai projek Tank Farm di Sungai Baru, Zahidi berkata perbincangan dengan negara pengeluar minyak dan pelabur telah dilakukan dan ia bakal membawa pulangan besar kepada negara dan juga rakyat.
Katanya bagi projek membina Hospital Digital Padang Besar, kerajaan pusat telah bersetuju dan ia akan diadakan dengan pihak swasta tanpa melibatkan dana kerajaan.
"Hospital Digital yang mempunyai 200 buah katil dan pusat data itu adalah pertama di Malaysia yang akan dilengkapi peralatan moden dan digital,"katanya.
Beliau berkata hospital tersebut melibatkan pembelanjaan sejumlah RM300 juta di atas tanah dengan keluasan 60 hektar.
-- BERNAMA
#padang besar #projek mega #rakyat perlis #Zahidi Zainul Abidin
;