Pelbagai pihak bantah waran tangkap Interpol terhadap Yusuf Al-Qaradawi
Astro Awani
Disember 22, 2014 09:04 MYT
Disember 22, 2014 09:04 MYT
Tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap terhadap ilmuan Islam terkenal Dr Yusuf Al-Qaradawi kerana dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir mendapat reaksi bantahan daripada pelbagai pihak di negara ini.
Pada 5 Disember lalu, laman web Interpol mengumumkan telah mengeluarkan notis merah terhadap Yusuf, 88, selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, vandalisme dan kecurian.
Di negara ini, perkembangan tersebut mendapat bantahan daripada pihak RIGHTS Foundation (RIGHTS) yang menggesa pemimpin dunia terutama negara-negara Islam untuk membantah sekeras-kerasnya terhadap permohonan waran tersebut.
Menurut Pengerusinya, Yusmadi Yusoff, Malaysia perlu dengan segera mengusulkan bantahan terhadap kerajaan Mesir untuk menarik balik waran tersebut.
“Beliau merupakan simbol suara demokrasi ulung yang berusaha keras membentuk dunia yang demokratik terutama di Asia Barat.
“Pengerusi Majlis Ulama Sedunia yang sentiasa membawa suara keserdahanaan Islam itu perlu dipertahankan.
Yusmadi berkata, tuntutan berkenaan amat penting lebih-lebih lagi ketika warga dunia kekurangan tokoh untuk berdepan dengan cabaran ekstremisme agama yang mencabar seperi ISIS.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sebuah kenyataan rasmi daripada parti tersebut turut membantah sekeras-kerasnya tindakan Interpol mengeluarkan waran tangkap dan senarai orang yang dikehendaki ke atas Yusuf Al-Qaradawi.
“Sesungguhnya ini adalah satu tindakan yang jelas double-standard dan jelas berpihak kepada Rejim Kudeta Mesir pimpinan Jeneral As-Sisi.
“Perkara ini amatlah dikesali kerana umum mengetahui kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh As-Sisi dan gerombolannya terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin. Atas sifat dendam, kerajaan Mesir inilah yang menuntut Interpol bertindak sedemikian rupa,” ujar beliau.
Tambah Mahfuz, tindakan Interpol itu seolah-olah menyemarakkan lagi Islamofobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut keganasan dan aktiviti keganasan.
Yusuf yang kini menetap di Qatar digambarkan sebagai individu yang bertanggungjawab atas insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Hosni Mubarak.
Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Yusuf dengan gelaran Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2009.
#Bantahan
#Interpol
#Mahfuz Omar
#Malaysia
#notis merah
#PAS
#waran tangkap
#Yusmadi Yusoff
#Yusuf Al-Qaradawi