Pelbagai langkah perlu diambil berkaitan isu bendera Malaysia - Lee Lam Thye
Bernama
November 29, 2019 15:26 MYT
November 29, 2019 15:26 MYT
Pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan pelbagai langkah perlu dilakukan institusi pendidikan di negara ini dan masyarakat dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bendera Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu tahu bagaimana menghargai bendera negara ini dengan penghormatan tertinggi dan usaha sedemikian boleh dilaksanakan oleh kementerian berkaitan dengan kerjasama media serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita tidak sewajarnya mengambil ringan bendera kita kerana mengibarkannya dengan cara yang tidak wajar adalah memalukan dan tidak sepatutnya berlaku kerana ia sama seperti menghina dan menunjukkan rasa tidak hormat kepada negara.
"Ia perlu diambil serius apabila berkaitan dengan bendera kita, yang juga melambangkan semangat sayang, bangga, patriotik, setia dan perpaduan kaum. Kejahilan rakyat dan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan sewajarnya mungkin disebabkan kurangnya semangat patriotik, kebanggaan, kesetiaan dan kepatuhan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, rakyat Malaysia juga harus ingat dengan bendera itu negara ini mencapai kemerdekaan dan membina kehidupan yang harmoni meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, warna kulit atau kepercayaan dan terus berusaha ke arah membina perpaduan dan negara yang mampan untuk generasi masa hadapan.
Kenyataan Lee itu merujuk kepada kejadian baru-baru ini di mana Jalur Gemilang elektronik dengan bintang lima dipaparkan pada majlis pembukaan kejohanan bola keranjang di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Isnin lepas.
Bendera itu juga mengandungi 10 jalur merah dan putih berbanding 14 jalur pada bendera kebangsaan.
Bendera Malaysia mengandungi 14 bintang dan 14 jalur merah dan putih yang mewakili 13 negeri di negara ini dan Wilayah Persekutuan.
Lee juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ia adalah tanggungjawab mereka sebagai rakyat yang patriotik untuk memastikan Jalur Gemilang tidak dipasang secara terbalik, lusuh dan pudar.
"Insiden baru-baru ini sebagai peringatan kepada semua bahawa apabila kita mengendalikan bendera kebangsaan atau negeri, pastikan ia dikibar atau dipaparkan dengan lambang yang betul.
"Kini Maba telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden itu yang tidak disengajakan, saya rasa ia perlu dimaafkan tapi harus menjadi pengajaran kepada semua," katanya.
-- BERNAMA
#bendera bintang pecah lima
#bendera malaysia
#Jalur Gemilang
#kejohanan bola keranjang
#Lee Lam Thye
#MABA
#Persatuan Bola Keranjang Malaysia
#Yayasan Perpaduan Malaysia