Pelbagai kaum sambut perayaan bersama, petanda baik untuk negara - Tun Mahathir
Bernama
November 9, 2018 06:15 MYT
November 9, 2018 06:15 MYT
Semangat yang ditunjukkan masyarakat dalam meraikan dan berkongsi kemeriahan perayaan pelbagai kaum dan agama merupakan petanda baik untuk pembangunan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata hubungan rapat antara kaum membolehkan pelbagai lapisan masyarakat merayakan semua hari kebesaran bersama-sama.
"Ini sudah tentu menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan negara kita dan sekali gus negara dapat dibangunkan dan memberi kebahagiaan kepada rakyat.
"Jika tidak ada keamanan, banyak wang dihabiskan kerana pemusuhan dan ramai yang cedera parah, sudah tentu negara tidak dapat dibangunkan," katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, di sini malam tadi, yang turut dihadiri Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Wathya Moorthy, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Majlis itu turut disertai 7,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Terdahulu, ketibaan Dr Mahathir dan isteri pada 9.04 malam diiringi persembahan 'Miruthangam' sebelum beliau bersama isteri meninjau hiasan 'kolam' burung merak.
Terdahulu, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah yang tiba 8.30 malam di Rembau mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Viviekananda, di sini.
Sementara itu, Wathya Moorthy berkata kepelbagaian dalam 214,000 suku kaum dan etnik di ini menjadikan masyarakat berada dalam keadaan kompleks.
"Sebab itu pengetahuan, kefahaman dan interaksi budaya dalam masyarakat sangat penting untuk diberi penekanan.
"Sebagaimana warna-warni pada sambutan hari ini, kita sememangya sudah lama hidup bermasyarakat dan harmoni," katanya.
-- BERNAMA
#berbilang bangsa
#Deepavali
#harmoni
#hubungan
#kaum
#Mahathir Mohamad
#P Wathya Moorthy
#perayaan
#perpaduan
#Rembau