Pelbagai etnik raikan Hari Sarawak 2018

Rohana Wahed
Julai 22, 2018 15:27 MYT
Para penari dari Majlis Seni Sarawak berpakaian tradisional suku kaum di Sarawak pada sambutan Hari Sarawak 2018.
Kepelbagaian kaum, kostum, agama dan warna-warni keharmonian bergabung di bawah satu program gilang-gemilang Sambutan Hari Sarawak 22 Julai yang berlangsung di Kuching hari ini.
Sambutan hari bersejarah masuk tahun kedua tahun ini selepas bekas Ketua Menteri Datuk Adenan Satem mengumumkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak dan cuti umun.
Signifikan sambutan hari ini adalah sebagai meraikan kejayaan negeri itu diberikan pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 untuk menjadi salah sebuah sekutu membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun yang sama.
Gabenor terakhir di tanah jajahan waktu itu, Alexander Waddell, meninggalkan Astana (kediaman rasmi gabenor) dan menaiki sampan putih menyeberangi Sungai Sarawak, kemudian menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak, dengan bendera kolonial diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan.
Bagi Challie Sheen ak Usup , 23 tahun, kaum Bidayuh dari Serian, dia bangga dengan sambutan Hari Sarawak malah berpeluang menjadi sebahagian peserta yang memakai kostum Orang Ulu.
"Selamat Hari Sarawak, walaupun jadi anak jati Sarawak, sebenarnya saya amat bangga jadi rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Manakala Ketua Kaum Lundu, Alang Rosli, 56 tahun, pertama kali turun menyambut sambutan itu berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan seusianya.
Kata nelayan ini, sambutan ini diharap dapat memupuk nilai kebersamaan antara generasi lama dengan orang muda.
"Hari ini bukan sahaja orang Kuching tetapi rakyat luar sejauh dari Lawas datang bagi meraikannya.
"Saya bangga dan terharu, terima kasih kerajaan negeri Sarawak. Sambutan ringkas tetapi besar maknanya," katanya.
Sambutan dirasmi Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg dan isteri, menteri-menteri kabinet, tetamu kehormat dan wakil kerajaan.
Lebih 3,000 membanjiri Dataran Perayaan Stadium Sarawak yang turut dihadiri pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO dan pelajar sekolah meraikan sambutan Hari Sarawak kali kedua.
Antara acara pengisian sambutan acara berbasikal dan Pentas Hiburan Hari Sarawak malam ini.
#Abang Johari Tun Openg #Alang Rosli #Alexander Waddell #Astana #Challie Sheen ak Usup #Hari Sarawak 2018 #Kuching #Sarawak
;