Pelayan bar hotel mengaku salah langgar dua polis trafik

Bernama
Ogos 29, 2024 18:30 MYT
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pandan Indah Utama di sini pada 9 pagi, 21 Mac lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pelayan bar sebuah hotel mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan melanggar dua anggota polis trafik dan dua individu lain, lima bulan lepas.
Mohamad Syazwan Abdul Halim, 29, didakwa memandu kereta secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya terhadap penunggang motosikal Sarjan Syafiqah Arinah Mohamed Anwar, 30, dan Koperal Mohd Hasrul Aswad Mohd Shukri, 34.
Dua lagi penunggang motosikal ialah kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Wan Ariff Danial Wan Ahmad Sofian, 31, dan orang awam Nurul Syahiera Zaiful Azar, 31.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pandan Indah Utama di sini pada 9 pagi, 21 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 serta boleh dipenjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani menawarkan jaminan RM7,000 manakala peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh memohon jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan adik ipar berusia 22 tahun.
Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 14 Okt ini bagi mendapatkan laporan perubatan keempat-empat mangsa serta jatuh hukum.
-- BERNAMA
#kes langgar polis trafik #kes mahkamah #hukuman denda #pelayan bar