"Pelatih perlu tahan lasak, alasan tidak masuk akal untuk budayakan buli" - SUHAKAM

Irfan Faruqi
November 14, 2024 07:00 MYT
Noor Aziah berkata, mentaliti itu mesti dihentikan serta-merta kerana perlakuan melampau itu adalah lebih dekat kepada penderaan. Gambar fail
KUALA LUMPUR: Memberi alasan bahawa pelatih ala-tentera mesti tahan lasak adalah alasan tidak masuk akal untuk membudayakan buli di institut pengajian tinggi.

Ringkasan AI
  • Alasan Ketahanan Lasak Tidak Masuk Akal: Mentaliti bahawa pelatih mesti tahan lasak untuk membudayakan buli adalah tidak masuk akal dan mesti dihentikan serta-merta kerana ia lebih kepada penderaan daripada latihan. Kesan Penderaan: Penderaan dan buli boleh menyebabkan gangguan fizikal dan mental yang serius, dan ada kajian yang menunjukkan bahawa mangsa penderaan berpotensi menjadi pendera di masa depan. Kes-kes Buli Serius: Terdapat laporan kes buli yang serius di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), termasuk kes kecederaan parah dan kematian, yang menunjukkan betapa seriusnya masalah ini dan perlunya tindakan segera.

Pesuruhjaya Surahanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, mentaliti itu mesti dihentikan serta-merta kerana perlakuan melampau itu adalah lebih dekat kepada penderaan berbanding latihan.
"Bagi institusi ini yang ala-ketenteraan. Mereka kata hendaklah tahan lasak. Alasan-alasan itu, bagi saya, ialah alasan yang tidak masuk akal dan sepatutnya dihentikan serta-merta.
“Kita anggap ini satu penderaan dan menyebabkan gangguan (fizikal dan mental). Gurauan apa sehingga menyebabkan kematian?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
‘Pelatih hendaklah tahan lasak’, alasan tidak masuk akal untuk budayakan buli - SUHAKAM
Noor Aziah menyuarakan kekecewaan yang sangat mendalam terhadap laporan buli yang berlaku di institusi pengajian tinggi.
Jelasnya, hal tersebut tidak boleh dibiarkan berlaku kepada pelajar-pelajar tersebut akan menjadi bapa kepada anak-anak dan suami kepada isteri.
“Kita ada kajian yang menunjukkan bahawa jika seseorang itu pernah didera, maka suatu hari nanti dia juga akan menjadi pendera.
“Saya juga hendak sebut dari aspek sekolah yang mana kita selalu buat siasatan dera dan buli ini. Kebiasaannya, anak tersebut ada masalah juga. Sama ada mereka dibuli di rumah atau dia lihat ibunya dibuli oleh bapa,” ujarnya.
Pada 10 November lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima satu laporan mengenai seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Dua hari sebelumnya, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) universiti yang sama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, bulan lepas.
Insiden yang mendatangkan kecederaan ini berlaku hanya selepas kira-kira empat bulan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Dialog Tiga Penjuru: Buli… Tidak Berperikemanusiaan!
#buli #dera #Institusi Pengajian Tinggi #UPNM
;