Pelatih ALAM antara tiga maut, kenderaan hilang kawalan di Port Dickson
Shuhada Abdul Kadir
Disember 12, 2018 21:34 MYT
Disember 12, 2018 21:34 MYT
Tiga termasuk seorang pelatih Akademi Laut Malaysia (ALAM) maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Tembok Pasir Panjang Bukit Putus, di sini petang tadi.
Pelatih yang maut dalam kejadian sekitar 4.10 petang itu dikenali sebagai R. Piravin, 25, serta dua lagi penunggang dan pembonceng motosikal iaitu masing-masing R. Sarawanan, 29 dan Norazli Kassim, 37.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian itu membabitkan kenderaan jenis Honda Accord yang dipandu oleh pelatih berkenaan, motosikal yang dinaiki dua lagi mangsa serta sebuah bas kilang.
“Penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu Honda Accord itu dari arah Pasir Panjang ke Teluk Kemang manakala bas kilang yang membawa empat penumpang dari arah bertentangan.
“Motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki dua mangsa itu terlebih dahulu hilang kawalan sebelum pemandu kereta terlibat cuba mengelak dan merempuh bas yang datang dari arah lawan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun ujarnya, pemandu bas serta dua penumpang hanya mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ekoran pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Mangsa yang cedera juga dirawat di Zon Kuning Hospital Port Dickson dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987."
#Alam
#Hospital
#kemalangan
#Malaysia
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#polis
#Port Dickson
#Yamaha LC