Pelatih AADK bakal sertai tenaga kerja sektor perladangan

Harits Asyraf Hasnan
Februari 17, 2016 15:51 MYT
Ladang-ladang Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tidak lama lagi bakal menerima pelatih AADK sebagai pekerja. - Gambar hiasan
Seramai 1,000 pelatih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bakal ditempatkan di 20 ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bermula pertengahan Mac depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata menerusi program Oil Palm For Life (OPAL) itu, ia akan mengurangkan kebergantungan majikan terhadap buruh asing.
"Sebagai projek perintis, seramai 1,000 orang akan dipilih melalui road show yang diadakan mulai bulan ini di CCRC (Cure and Care Rehabilitation Centre) seluruh negara.
"Mereka ini akan ditempatkan di 20 kawasan ladang Felda dan FGV dan akan ditempatkan secara berkelompok selama dua tahun dan dipantau pegawai AADK," katanya pada sidang media Pelaksanaan Program OPAL di sini hari ini.
Menurut Razali, kumpulan pertama melibatkan 50 peserta akan ditempatkan di Felda Serting, Negeri Sembilan pada Mac depan.
Tegasnya, sepanjang tempoh tersebut para peserta bukan sahaja menjalankan kerja-kerja ladang, malah mengikuti program kerohanian, motivasi dan kaunseling.
Bukan itu sahaja, peserta juga akan mendapat gaji minimum RM1,000 termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Skim gaji sama, dari segi gaji minima tetap terpakai. Apa sahaja kemudahan di asrama disediakan, kesihatan malahan pendidikan kepada peserta.
"Buat masa ini, Felda dan FGV sahaja memerlukan 10,000 pekerja ladang," katanya.
Ditanya jika program tersebut akan bertentangan dengan pelan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, kata Razali OPAL hanya memfokuskan sektor perladangan di dalam Felda dan FGV dan tidak menempatkan peserta di sektor lain.
"Isu kebergantungan kepada buruh luar bukanlah isu baru...sebab itu kerajaan terpaksa melihat kepada tuntutan oleh industri.
"Industri kena berlaku adil, beritahu apa keperluan dan kita cuba memenuhi keperluan itu," katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Izhar Abu Talib.
#Datuk Razali Ibrahim #FGV #ladang Felda #pelatih AADK
;