Pelarasan gaji penjawat awam Perak ikut formula pengumuman Kerajaan Persekutuan - Saarani
Bernama
Ogos 20, 2024 23:29 MYT
Ogos 20, 2024 23:29 MYT
IPOH: Pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam Perak akan dilaksanakan mengikut formula seperti pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos.
Menteri Besar Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya akan mengikut langkah seperti diumumkan, supaya tidak timbul sebarang perbandingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Biasanya kita akan ikutlah (pelarasan gaji awam)... kita akan ubah suai (gaji) sedikit sebanyak, tetapi kena ada kenaikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sini, malam ini.
Beliau tidak menafikan kenaikan gaji pejawat awam tersebut akan memberi implikasi kewangan negeri, namun pihaknya akan berusaha meningkatkan keupayaan dana negeri bagi memenuhi pelaksanaan tersebut.
"Selama ini pun macam itulah (mencari kewangan), jadi insya-Allah ada rezeki masing-masing," katanya.
Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-19 (MAPPA XIX) 2024, mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Perdana Menteri berkata pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan 1 Jan 2026 untuk Fasa 2.
Sementara itu, Saarani berkata potensi industri pelancongan Islam sangat menggalakkan dan dari segi nilai, pasaran ini dijangka mencapai USD300 bilion menjelang 2026, meningkat dari USD220 bilion ketika ini.
Beliau berkata Perak menawarkan pelancongan muslim menarik termasuk Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar; Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk; Masjid Seribu Selawat di Pangkor, dan Masjid Cina di Tasek Ipoh.
"Kalau masjid ini dijadikan sebagai destinasi pelancongan tentu sekali ia akan menjadi (menarik pelancong) sebab tiap-tiap masjid itu ada keunikan yang tersendiri, sama ada pengisian masjid atau reka bentuk masjid ataupun sejarah, dan itu satu contoh produk yang diminati sekarang.
"Jadi kerana itu kita anjurkan (pelancongan muslim) kalau ia betul-betul kita mempromosikannya daripada jutaan bilangan pelancong Islamik ini, kalau separuhnya boleh singgah di Perak ia akan memberi pulangan yang lumayan kepada pengiat hotel dan pelancongan," katanya.
-- BERNAMA