Manakala bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula, pelarasan gaji akan diberikan sebanyak 7 peratus juga dilaksanakan secara berfasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan pemberian gaji akan diberikan secara berfasa iaitu fasa 1 pada 1 Disember 2024 manakala fasa 2 pula pada 1 Januari 2026.
"Pegawai Kumpulan Pelaksana dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional pelarasan gaji bagi fasa 1 adalah 8 peratus dan fasa 2 pula 7 peratus dengan keseluruhan 15 peratus.
"Manakala bagi Kumpulan Pegawai Pengurusan Tertinggi fasa 1 sebanyak 4 peratus dan fasa 2 pula sebanyak 3 peratus.
"Pelaksanaan secara berfasa ini bagi memastikan tiada inflasi kerana jika inflasi naik pendapat boleh guna akan jauh kurang," katanya mengumumkan berita itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di sini, hari ini.
Anwar berkata, penjawat awam yang sedia berkhidmat akan diselaraskan gaji pada 1 Disember 2024.
Selain itu, beliau berkata, pencen akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan gaji akhir pesara.
"Ramai rakan-rakan pencen bangkitkan isu ini dan saya beri jaminan tidak terjejas dengan perubahan baharu ini," ujarnya.
JULAT PENINGKATAN PENDAPATAN PENJAWAT AWAM 16.8% HINGGA 42.7%
Menurut Perdana Menteri, julat peningkatan pendapatan akan diterima penjawat awam adalah 16.8 peratus hingga 42.7 peratus mengambil kira faedah berganda.
"Sebagai contoh Pembantu Hidupan Liar Gred 11 pendapatan bulanan pada November 2024 sebanyak RM1,795 dan akan meningkat kepada RM2,115 pada Disember 2024 semasa fasa 1 dan pada fasa 2 akan meningkat kepada RM2,327 pada Januari 2026.
"Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred 41 pendapatan bulanan pada November 2024 sebanyak RM3,838 dan akan meningkat kepada RM4,085 pada Disember 2024 semasa fasa 1 dan pada fasa 2 akan meningkat kepada RM4,559.24 pada Januari 2026," ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.