Pelarasan gaji penjawat awam kurangkan trend guru bersara awal

Bernama
Ogos 18, 2024 12:20 MYT
Aminuddin berkata pengumuman itu merupakan satu hadiah bermakna yang sangat besar buat para guru yang kini berdepan dengan cabaran besar dalam mendidik anak bangsa serta cabaran kos sara hidup. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik dijangka dapat mengurangkan trend guru bersara awal pada masa kini.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata pengumuman itu merupakan satu hadiah bermakna yang sangat besar buat para guru yang kini berdepan dengan cabaran besar dalam mendidik anak bangsa serta cabaran kos sara hidup.
"Para guru kini bukan sahaja menikmati kenaikan gaji tahunan (KGT), tetapi dengan pelarasan gaji ini, tambahan kenaikan gaji turut diberikan.
"Selepas 12 tahun tanpa semakan, pelaksanaan SSPA bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) adalah satu hadiah yang sangat bermakna buat para guru.
"Saya percaya langkah ini juga dapat mengurangkan trend guru bersara awal, dan mendorong para guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah diberikan kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pelarasan yang akan dibuat secara berfasa ini dijangka membolehkan para guru menikmati kenaikan ketara pada Fasa 1 pelaksanaannya Disember ini.
"Ini memang memberikan kelegaan kepada para guru...Guru juga adalah pengguna. Dalam Fasa 2 pelarasan gaji, kita akan melihat tambahan kenaikan selain daripada KGT."
"Pelaksanaan secara berfasa ini adalah pendekatan yang wajar oleh kerajaan, dan tempoh untuk menikmati kenaikan gaji tersebut tidak terlalu lama," katanya
Aminuddin, dalam pada itu berharap agar perincian yang lebih lengkap mengenai pelaksanaan sistem SSPA secara keseluruhannya dapat diberikan.
"Secara umumnya, kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional, serta tujuh peratus bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT)."
"Secara asasnya, kita baru dimaklumkan mengenai kenaikan gaji, tetapi perincian lengkap tentang sistem tersebut masih belum dikemukakan. Oleh itu, kami berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan dan manfaat SSPA kepada penjawat awam."
Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai KPT.
Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.
-- BERNAMA
#Gaji penjawat awam #guru bersara awal #Kerajaan Madani #NUTP
;