Pelarasan gaji motivasi pasukan keselamatan negara tingkat prestasi, kebajikan terjaga
Bernama
Ogos 16, 2024 20:05 MYT
Ogos 16, 2024 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan negara melihat pelarasan gaji yang diumumkan hari ini sebagai suntikan motivasi dalam meningkatkan prestasi, di samping memberikan perkhidmatan dengan lebih baik dan efisien.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata beliau mewakili seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersyukur dengan pengumuman itu dan ia menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam terutamanya anggota dalam melaksanakan tugas serta veteran PDRM.
"Kenaikan gaji ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan hidup, malah turut memberi motivasi tambahan untuk terus berkhidmat dengan lebih baik dan efisien.
"Dalam konteks yang sama, penjawat awam yang bekerja kuat dan menunjukkan prestasi cemerlang akan diberi peluang untuk dinaikkan pangkat sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata kenaikan pangkat ini bukan sahaja memberi penghargaan, tetapi juga membuka ruang untuk mereka memegang tanggungjawab yang lebih besar dan menyumbang lebih banyak kepada organisasi khususnya dan negara amnya.
"Justeru, penghargaan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjaga," katanya.
Turut senada, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata pengumuman berkenaan memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban penjawat awam termasuk warga ATM.
"Pelaksanaan ini sudah tentu disokong sepenuhnya oleh semua sebagai petanda kesungguhan kerajaan MADANI dalam meringankan bebanan kos sara hidup, seterusnya memastikan kesejahteraan seluruh warga ATM dan veteran ATM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad Nor berkata pengumuman itu sangat positif dalam banyak aspek terutamanya melibatkan kebajikan penjawat awam.
Menurutnya, dalam pengumuman berkenaan turut disertakan mengenai pelbagai penyelesaian isu tertunggak antaranya melibatkan kenaikan gred penjawat awam.
"JBPM sangat meraikan pengumuman berkaitan kenaikan gred untuk Subject Matter Expert dan kenaikan pukal untuk gred 41, 44 dan 48 yang telah lama berada di gred semasa.
"Ini memberikan motivasi dan cabaran kepada penjawat awam terutamanya pasukan untuk meningkatkan prestasi secara keseluruhan," katanya.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Dis 2024.
Turut diumumkan, pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi fasa 1 dan fasa 2 pada 1 Jan 2026.
-- BERNAMA