Pelantikan Tommy Thomas tidak jejas kedudukan Islam, hak Melayu

Bernama
Jun 6, 2018 09:25 MYT
ANWAR: Setiap individu yang dilantik sebagai Peguam Negara adalah terikat kepada Perlembagaan Malaysia.
Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tidak akan menjejaskan kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini, kata Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini kerana setiap individu yang dilantik sebagai Peguam Negara adalah terikat kepada Perlembagaan Malaysia dan bertindak atas kuasa yang ada dalam perlembagaan itu.
"Dia (Peguam Negara ) tidak boleh langgar (Perlembagaan Malaysia). Ini keprihatinan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu, dan ini keyakinan yang kita beri kepada Raja-Raja Melayu bahawa Tommy Thomas tetap menjaga kedudukan Islam dan kepentingan Melayu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan (Malaysia).
"Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) tidak banyak masalah kerana baginda hanya mahu keyakinan itu (kedudukan Islam dan hak Melayu dijaga). Baginda faham hak Perdana Menteri (mencadang Peguam Negara) tetapi berkuat kuasa setelah baginda tanda tangan (pelantikan Peguam Negara)," katanya pada sidang akhbar di sini, malam Selasa.
BACA: Tommy Thomas memang layak - Peguam
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Moreh Bersama Rakyat di Dataran Keris di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan kira-kira 3,000 orang.
Pada Selasa, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
BACA: Agong perkenan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara
Anwar berkata beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan kerajaan Pakatan Harapan dan pihak Istana, dan meminta pihak terbabit supaya menghentikan perbuatan tersebut
"Kawan-kawan yang selalu nak laga-laga ini hentikan lah, ini bulan Ramadan, sudah-sudahlah. Ini peluang kita semua untuk membina negara dan membaiki akhlak. Mari kita sama-sama maju ke depan pikul amanah diberi rakyat untuk membina negara," katanya.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis itu, beliau berkata tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada pemimpin Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas bukan satu keistimewaan sebaliknya sebuah amanah yang perlu dilaksana dengan sebaiknya.
"Saya dan kita (pemimpin Pakatan Harapan) semua amat terhutang budi kepada rakyat Malaysia. Anwar tiada apa-apa, tiada harga dalam politik tanah air kalau tidak kerana rakyat Malaysia. Kalau begitu, kita pikul (amanah) rakyat, jaga kepentingan rakyat.
"Jaga perbelanjaan, duit. Belanja dengan cermat. Semua (pemimpin Pakatan Harapan) mesti sedar, ini amanah. Selagi ada seorang anak miskin kita bertanggungjawab membela kepentingan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Islam #Mahathir Mohamad #Melayu #Peguam Negara #Perdana Menteri #Perlembagaan Malaysia #Sultan Muhammad V #Tommy Thomas #Yang di-Pertuan Agong
;