Pelantikan tiga ahli JPKK selaras ketetapan tiga parti komponen
Aida Aziz
Disember 18, 2020 12:10 MYT
Disember 18, 2020 12:10 MYT
Pelantikan tiga ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) adalah selaras dengan ketetapan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) supaya ia dibuat meliputi tiga komposisi parti komponen.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, setiap JPKK Negeri Perak dipengerusikan Penghulu yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas selaku ketua organisasi di kampung berkenaan.
"YB Selinsing (Mohamad Noor Dawoo) memohon kerajaan negeri melihat semula keperluan pelantikan tiga orang ahli (JPKK) dalam sesebuah kampung yang menyulitkan pentadbiran kampung.
"Hala tuju masa hadapan organisasi JPKK ini akan diperkemas, selaras dengan ketetapan lanjut dan persetujuan di peringkat kerajaan negeri kelak," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, kerajaan negeri akan terus berusaha mencari formula terbaik untuk mengatasi perkara ini.
Antaranya termasuk melalui penganjuran bengkel melibatkan pihak yang berkaitan.
Sementara itu, Mohamad Noor (BN-Selinsing) ketika bangun mengajukan soalan tambahan berkata, isu elaun kepada JPKK juga perlu diambil perhatian.
"Saya berpendapat kajian semula yang hendak dilakukan oleh YAB itu memang tepat pada masanya, namun satu lagi isu ialah saya lihat elaun yang diberikan kepada mereka ini sangat sedikit.
"Saya rasa perlu kita tambah untuk mereka lebih efisien dalam menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran di peringkat mukim, daerah dan negeri," katanya.
#Saarani Mohamad
#kampung
#keselamatan
#kerajaan
#ADUN
#Menteri Besar
#kajian semula
#JPKK
#Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
#Kementerian Pembangunan Luar Bandar
#parti komponen
#Mohamad Noor Dawoo
#elaun
#penghulu