Pelantikan Tajuddin sebagai duta: "Jangan persoal kuasa Agong" - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Julai 2, 2022 12:10 MYT
Julai 2, 2022 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang mendesak agar pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia ditarik balik seolah-olah mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu telah diluluskan oleh Kabinet serta dan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sepatutnya telah diserahkan watikah tetapi YDPA gering waktu itu dan saya percaya akan diserahkan watikah (pelantikan kepada Tajuddin).
“(Ada yang minta tarik balik) itu jangan lah. Jangan kita persoalkan kuasa YDPA.
“Agong dah perkenan, kita pula nak tarik balik. Nak desak Agong la tu? Nak desak (tarik) maknanya mendesak YDPA,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, selain Tajuddin, empat tokoh lain masing-masing akan menerima watikah pelantikan sebagai duta ke Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan.
Kesemua mereka dijadual menerima watikah pelantikan daripada Al-Sultan Abdullah pada 20 Jun lalu, namun ditangguhkan berikutan Al-Sultan Abdullah gering.
Bagaimanapun, segelintir pihak mempertikaikan pelantikan Tajuddin sebagai wakil kerajaan di negara jiran itu sebagai tidak layak.