Pelantikan Naib Canselor tidak dibuat semberono - Zambry

Bernama
Februari 25, 2025 18:53 MYT
Zambry berkata pemilihan dibuat berdasarkan syor dan saranan daripada Lembaga Pengurusan Universiti dan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sesebuah universiti awam tidak dibuat secara semberono atau berdasarkan faktor politik seperti yang disebarkan di media sosial atau surat layang.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebaliknya berkata pelantikan bagi jawatan berkenaan perlu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Seksyen 4A Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2019.
Beliau berkata pemilihan dibuat berdasarkan syor dan saranan daripada Lembaga Pengurusan Universiti dan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.
"Jadi (proses pelantikan) perlu melalui pelbagai saringan, menteri akan memilih calon berdasarkan kepada undang-undang dalam Bahagian I, Seksyen 9 (1) AUKU," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan pemilihan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak dibuat mengikut proses saringan dan temuduga.
Dalam pada itu, Zambry menafikan dakwaan mengatakan budaya hedonisme (mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup) menjadi gaya hidup mahasiswa zaman ini susulan penganjuran aktiviti seperti konsert di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Sebarang bentuk penganjuran yang hendak dilaksanakan mahasiswa atau pihak universiti mestilah tertakluk kepada peraturan dan peraturan ini adalah garis panduan yang telah dirangka dan disediakan institusi pengajian tinggi masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#Institusi Pengajian Tinggi #Kementerian Pendidikan #media sosial #Dewan Rakyat
;