Pelantikan Mohammad Iskandar sebagai pengarah Intan ditarik balik - JPA

Wan Syamsul Amly
Julai 4, 2019 07:00 MYT
BORHAN: Kita sahkan telah tarik balik lantikan beliau (Mohammad Iskandar) dan kembali ke tempat asal. - Gambar Instagram@borhanbindolah
Lantikan bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Mohammad Iskandar Mohd Kaus sebagai Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) disahkan ditarik balik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dollah berkata ia dibuat selepas
mengambil kira semua perkara yang telah dibangkitkan termasuk isu untuk berkhidmat dengan kerajaan memerintah.
"Kita sahkan telah tarik balik lantikan beliau dan kembali ke tempat asal. Kita mengambil kira semua perkara yang dibangkitkan dan pada awalnya kita merasakan bahawa pegawai selepas setahun lebih itu sudah bersedia, kita professional, kita hendak berkhidmat kepada kerajaan.
"Mengambil kira pandangan itu, kita tarik balik. Pelantikan baru boleh dibuat bila-bila masa, boleh jadi seminggu lepas ini.
"Mesyuarat jawatankuasa akan diadakan minggu depan. Calon-calon sebelum ini sudah ada, pengumuman boleh dibuat selepas itu (mesyuarat)," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perkhidmatan Awam 2019 (PPA2019) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), pada Khamis.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, laman Facebook Intan menyiarkan pelantikan Mohammad Iskandar sebagai pengarah institusi berkenaan.
Menurut Facebook itu juga, pelantikan Iskandar sebagai pengarah Intan ke-17 itu juga berkuat kuasa mulai Isnin.
#Borhan Dollah #intan #Ketua Pengarah #Ketua Setiausaha Sulit #Mohammad Iskandar Mohd Kaus