Pelantikan MB Johor: Hasni sahkan Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor petang ini

Bernama
Mac 14, 2022 16:30 MYT
Hasni mengesahkan Ahmad Zahid akan menghadap Sultan Ibrahim berhubung pelantikan Menteri Besar Johor petang ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar Johor petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.
"Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, Presiden (UMNO) kemudiannya menghadap (Sultan Johor)," kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, sebentar tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.
KEPUTUSAN PRN JOHOR DI SINI
Terdahulu, Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.
Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Hasni, yang juga ADUN Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baharu sekiranya parti itu memenangi PRN Johor.
-- BERNAMA
#PRN Johor #pelantikan menteri besar #Sultan Johor #Zahid Hamidi
;