'Pelantikan Latheefa ikut Perlembagaan, tapi salah dari segi politik' - Kit Siang

Astro Awani
Jun 9, 2019 20:02 MYT
LIM: Kita mahukan visi Malaysia Baharu Pakatan Harapan berjaya, dan untuk ini kita perlukan Latheefa Koya untuk berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah. - Gambar fail
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya mempunyai hak untuk melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, jelasnya tindakan tersebut secara politiknya dianggap salah kerana ia bertentangan dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH).
"Mereka yang mengatakan cara pelantikan Latheefa sebagai Pengerusi SPRM bertentangan dengan semangat Janji ke-14 Manifesto PH ini tidaklah salah dan saya yakin, jika pelantikan ini tidak melibatkan Latheefa, beliau akan menjadi individu terawal yang akan mengkritik pelantikan seperti ini.
"Peruntukan Perlembagaan bagi melaksanakan Janji ke-14 ini belum lagi disediakan dan hal ini mewujudkan satu keadaan di mana Perdana Menteri berhak dari segi peruntukan undang-undang tapi tidak betul daripada segi politik untuk menggunakan kuasanya dalam melantik Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, pelantikan Latheefa terletak di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri dan ianya selari dengan peruntukan undang-undang, namun isu utama yang timbul akibat pelantikan ini adalah percanggahan dengan manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Janji tersebut, antara lain menyatakan bahawa SPRM dinaik taraf kepada suruhanjaya yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan serta akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.
BACA: Latheefa Koya kini terajui SPRM, ganti Shukri Abdull
Justeru, kata beliau pelantikan Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei tahun lepas juga bertentangan dengan janji manifesto PH tersebut.
Sungguhpun begitu, Kit Siang berkata dari segi kelayakan, pelantikan Latheefa tidak dipersoalkan dan beliau (Latheefa) perlu memastikan tahun kedua kerajaan PH dengan SPRM, berjaya memerangi rasuah dan menjayakan transformasi Malaysia kepada sebuah negara yang berintegriti.
"Kita mahukan visi Malaysia Baharu Pakatan Harapan berjaya, dan untuk ini kita perlukan Latheefa Koya untuk berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah," tambahnya.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata adalah penting untuk untuk pemimpin-pemimpin PH agar terus meningkatkan kepercayaan di antara mereka, dan kekal komited dengan Manifesto PH sebagai panduan dalam membina sebuah Malaysia yang Baharu.
Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun 2019 menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih memendekkan perkhidmatan kontraknya lebih awal.
Mohd Shukri sepatutnya menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 17 Mei 2020.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pelantikan Latheefa adalah muktamad dan ia dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.
#Ketua Pesuruhjaya SPRM #Latheefa Koya #Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #Manifesto Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;