Pelantikan KP SPRM: Majoriti tidak pertikai kelayakan Latheefa, cuma isu proses - Hanipa

Kenyataan Media
Jun 7, 2019 08:26 MYT
HANIPA: "Saya berani menyatakan majoriti mesej dan aduan yang saya terima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan saudari Latheefa" - Gambar fail
Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri JPM, Mohamed Hanipa Maidin
( Hal Ehwal Undang-Undang) hari ini:
1. Atas kapasiti saya sebagai Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri ( JPM ( hal ehwal undang-undang), saya telah menerima agak banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan saudari Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) yang baru.
2. Saya berani menyatakan majoriti mesej dan aduan yang saya terima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan saudari Latheefa untuk memegang jawatan penting tersebut. Saya percaya majoriti rakyat boleh bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri tentang mengapa YAB memilih saudari Latheefah sebagai calon bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini , yang memilih untuk berhenti lebih awal dari tempoh yang sepatutnya. YAB PM menggunakan alasan ketegasan saudari Lateefa, antara lain, sebagai alasan kepada pelantikannya.
3. Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan tersebut. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya ( the alleged absence of transparency and proper consultation ), isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto Pakatan Harapan ( PH) , isu ketiadaan perbincangan dalam Kabinet dan/atau Majlis Presiden PH , isu kebimbangan " lack of impartiality" di pihak saudari Latheefa, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain.
4. Beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan tersebut. Secara jujur ,saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.
5. Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar-belakang saudari Latheefa sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia ( SUHAKAM) dan bukannya SPRM.
6. Sebagai sebuah Kerajaan yang amat peka pada ruh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, Kerajaan di bawah YAB PM , saya percaya, tidak akan perlecehkan begitu sahaja "suara-suara" tersebut. Saya juga percaya Kerajaan Malaysia baru ini bukanlah Kerajaan yang memandang" enteng"( mudah) terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin Kerajaan sebelum ini.
7. Saya juga percaya YAB PM juga penuh sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baru di bawah PH dan bukan memimpin Malaysia di bawah order lama BN. Ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ( PAC ) .
8. Oleh yang demikian, untuk berlaku adil pada YAB PM, pihak-pihak juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan PM juga ada bersamanya keistimewaan -keistimewaan tertentu ( certain privileges ) yang mungkin tidak ada pada jawatan lain. Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat YAB PM "menyalahgunakan" hak istimewa tersebut dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh "disalahgunakan". Justeru itu saya yakin dan percaya YAB PM dan para anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH insyaAllah akan berjaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan berhemah.
#Barisan Nasional #Bersih #Ketua Pengarah SPRM #kp sprm #Latheefa Koya #latheefah koya #Mohamed Hanipa Maidin #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #PM #Rasuah #SPRM #Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri #undang-undang
;