Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM ke-9: Anwar junjung kasih titah Agong
Astro Awani
Ogos 20, 2021 00:22 MYT
Ogos 20, 2021 00:22 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Dalam satu kenyataan media malam ini, beliau yang mewakili pihak pembangkang keseluruhannya mengambil maklum keputusan oleh Seri Paduka Baginda itu.
“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.
“Bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengajak semua pihak berdoa serta berusaha supaya krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi dapat diatasi dengan segera dan ditangani demi rakyat.
“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” ujarnya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
#pembangkang
#Ketua Pembangkang
#Anwar Ibrahim
#Yang di-Pertuan Agong
#pelantikan
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob