Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin langkah awal pemulihan UMNO - Prof Ulung
Israr Khalid
Julai 7, 2021 05:07 MYT
Julai 7, 2021 05:07 MYT
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dilihat sebagai strategi membersihkan persepsi rakyat terhadap UMNO.
Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pengarah KITA-UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpendapat, dua sosok yang dilihat bersih itu dijangka mendapat sokongan daripada ahli akar umbi untuk dipilih sebagai wakil parti yang lebih meyakinkan kepada rakyat khalayak.
“Katakanlah Mak Kiah nak berkempen jumpa orang kampung, “tolonglah undi UMNO.” Mereka akan kata “nak undi apa semua rasuah punya orang,” tapi Mak Kiah boleh jawab “eh tak ada lagi dah semua dah berhenti.
“Ini menarik, bagi saya ini satu langkah perantaraan di mana boleh dikatakan bahawa cara ini perlahan-lahan mereka yang dalam ‘kluster mahkamah’ itu terpaksa berundur tanpa perlu disuruh berundur,” jelasnya.
Memang Ismail Sabri dan Hishammuddin bukanlah antara pemimpin barisan tertinggi parti, tetapi pada akhirnya kata beliau, ahli akar umbilah yang lebih berkuasa dalam menentukan masa depan UMNO seluruhnya.
Mereka tidak lagi mahu diwakili oleh wajah lama yang dipalit pelbagai isu, maka Ismail Sabri dan Hishammuddin yang juga telah dilihat dan dinilai gerak kerja mereka dalam menguruskan hal penting negara iaitu COVID-19 dan insiden MH370 serta MH17 dahulu adalah pilihan terbaik dalam kalangan pemimpin berpengalaman yang ada.
“Mesyuarat Agung nanti pun semua pengundi atau ahli UMNO yang hadir, akhirnya sepertimana dalam Perlembagaan UMNO ia adalah (disandarkan) terhadap UMNO Bahagian. Saya kira pertimbangan kita adalah apa orang di bahagian kata mengenai ini.
“Saya selalu ditanyakan, bagaimana nak berkempen kalau semua orang nak masuk penjara. Ini kenyataan di akar umbi. Kini sudah ada pemimpin yang sebenarnya boleh menggantikan mereka, dua menteri kanan sekaligus.
“Jadi ini adalah positive argument di peringkat bawahan,” lanjutnya lagi.
Begitupun dalam melihat bagaimanakah pelantikan mereka ini boleh membawa hawa lebih segar dalam kelancaran pentadbiran negara, jelas Prof. Ulung, ia bukanlah semata-mata terletak di bahu mereka.
“Mereka ini adalah aktor-aktor politik yang menduduki tempat tertentu, didukung oleh satu barisan pentadbiran awam yang sangat besar di Malaysia. Beberapa kali kerajaan berubah, pentadbiran awam tetap sama.
“Pelantikan dua orang ini hanya memberikan kita keyakinan dari segi struktur umumnya, tapi perinciannya yang khusus saya rasa adalah penjawat awam, dan juga sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan masyarakat yang menyokong,” ujarnya.
Tonton temu bual penuh Prof. Ulung dalam Agenda AWANI bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini:
Agenda AWANI: Kestabilan Politik Menuju Endemik
#Agenda Awani
#Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin
#UMNO
#ismail sabri yaakob
#Hishammuddin Hussein