Pelantikan GLC tidak libatkan lantikan politik - Redzuan Yusof

Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 31, 2019 16:08 MYT
Dakwaan yang menyatakan pelantikan pemimpin syarikat berkaitan kerajaan memberi manfaat pada parti politik adalah tidak benar, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof. - Gambar fail
Dakwaan yang menyatakan pelantikan pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi manfaat pada pada parti politik adalah tidak benar, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof.
Menurut beliau, ini adalah kerana pelantikan pemimpin GLC berdasarkan merit dan tidak berdasarkan kepada pegangan politik.
"Saya tidak rasa begitu, saya tidak rasa itu perkara yang betul. Kita kena lihat kepada semua aspek pelantikan untuk buat komen begitu.
“Saya cadangkan semak semula semua pelantikan di semua GLC dan saya tidak fikir ia melibatkan lantikan politik.
“Ia lebih kepada lantikan yang tidak cenderung kepada politik dan lebih kepada merit dan tidak berdasarkan kepada pegangan pegangan politik,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Khamis.
Beliau mengulas laporan media yang memetik kajian badan pemikir a (Ideas) yang mendakwa pelantikan politik menyertai entiti berkaitan kerajaan terus diamalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di sebalik janji-janji Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan pembaharuan.
Bagaimanapun, jelas Redzuan, penemuan tersebut tidak berasas kerana pelantikan mengikut prosedur yang spesifik.
Katanya, sebarang lantikan perlu mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri dan sekiranya melibatkan MOF, perlu untuk dapatkan pandangan daripada kementerian berkenaan.
“Saya fikir penemuan itu tidak berasas jika Ideas kata ada banyak pihak yang dapat manfaat daripada Bersatu ataupun mana-mana parti.
"Kementerian saya tidak ada lantikan seperti Ketua Bahagian atau orang lain untuk sesuatu jawatan dalam lantikan politik,” ujarnya.
#GLC #lantikan politik #Mahathir Mohamad #Menteri Pembangunan Usahawan #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Redzuan Mohd Yusof #syarikat berkaitan kerajaan
;