Pelantikan Exco Kedah: Ahmad Bashah tangkis spekulasi, kekalkan pentadbiran
Harits Asyraf Hasnan
Februari 22, 2016 11:27 MYT
Februari 22, 2016 11:27 MYT
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengekalkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini.
Ia termasuk mengekalkan tiga Exco yang dilihat setia dengan kepimpinan Mukhriz sebelum ini iaitu Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Pelantikan tersebut sekaligus menangkis dakwaan kononnya Ahmad Bashah akan menggugurkan ketiga-tiga Exco tersebut dalam kepimpinannya.
Majlis angkat sumpah bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi dengan ketibaan Ahmad Bashah serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain lebih kurang jam 10.15 pagi.
Ini disusuli dengan keberangkatan masuk ahli Majlis Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dan Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah di Balai Penghadapan pagi tadi.
ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail mendahului senarai sembilan Exco yang mengangkat sumpah dihadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
ADUN lain yang turut mengangkat sumpah sebagai Exco ialah Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Badrul Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan Datuk Dr Leong Yong Kong.
Selepas majlis angkat sumpah, kesemua sembilan Exco menerima tauliah pelantikan daripada Tan Sri Tunku Sallehuddin.
Media dimaklumkan, majlis yang berlangsung hari ini hanya majlis mengangkat sumpah dan pelantikan Exco.
Portfolio setiap Exco akan dimaklumkan kelak.
Mukhriz meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 3 Februari lepas setelah hilang sokongan majoriti ADUN berikutan krisis yang bermula pada 20 Januari lepas apabila majoriti ADUN dan anggota Parlimen UMNO Kedah serta beberapa pemimpin kanan UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadapnya.
#Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)
#Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
#Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
#Kedah
#Menteri Besar