Pelantikan Biden diharap redakan perang teknologi, dagangan antara China-AS - Saifuddin
Bernama
Januari 22, 2021 08:57 MYT
Januari 22, 2021 08:57 MYT
KUALA LUMPUR: Pelantikan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu diharap dapat meredakan perang teknologi dan dagangan antara China dan Amerika Syarikat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata ini kerana sekiranya perang antara dua kuasa besar itu berterusan, ia akan menyebabkan negara-negara ASEAN tersepit.
"Ramai dalam kalangan negara anggota ASEAN bersimpati dengan China dan teknologi di sana. Ramai juga yang dah mula menggunakannya termasuk Malaysia...maksud saya bukan kerajaan, tetapi syarikat swasta dan syarikat telekomunikasi.
"Tetapi ada kebimbangan kalau ada tindak balas daripada Amerika Syarikat...tapi sekarang semua berharap lebih tenang, lebih stabil," katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara bertajuk Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1): Pemerkasaan Ekosistem Digital ASEAN terbitan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ASEAN dan masa depan digitalnya dengan pelantikan Biden sebagai presiden Amerika Syarikat ke-46 pada Rabu.
Melihat kepada 17 perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Biden sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan, Saifuddin berkata beliau percaya semangat multilateral yang menjadi pegangan ASEAN dapat dihidupkan semula oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat sekali gus memberi kelegaan kepada negara-negara ASEAN.
"Jadi, bila Presiden Amerika Syarikat menunjukkan yang beliau lebih bersifat sederhana, lebih bersifat multilateral biasanya ASEAN akan merasa lebih lega," katanya.
Mengulas mengenai isu keselamatan siber, Saifuddin berkata perkara itu adalah satu isu kompleks yang perlu ditangani dan diselaraskan dengan baik secara bersama oleh negara-negara ASEAN.
Beliau berkata Malaysia antara dua negara yang mempunyai prestasi terbaik daripada segi keupayaan menangani isu-isu keselamatan siber termasuk penubuhan CyberSecurity Malaysia (CSM) dan pihaknya bersedia menawarkan CSM untuk memainkan peranan dalam membantu negara ASEAN yang lain.
"Ada laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat (ADGMIN1) tengah hari tadi di mana Malaysia dan Singapura akan mengepalai usaha-usaha keselamatan siber dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebutkannya dengan begitu jelas ini antara perkara utama yang harus dilihat oleh pemimpin ASEAN," katanya.
Bertemakan 'ASEAN: Komuniti Yang Dihubungkan Secara Digital', ADGMIN1 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertujuan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-COVID-19.
Mesyuarat yang diadakan secara maya itu bertindak sebagai satu forum bagi bertukar-tukar pandangan dan polisi, berkaitan dengan penggunaan spektrum untuk kegunaan telekomunikasi serta perkara berkaitan dengan industri telekomunikasi di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA
#Joe Biden
#Presiden Amerika Syarikat
#perang teknologi
#dagangan
#China-AS
#China
#Amerika Syarikat
#Saifuddin Abdullah