Pelantikan Abdul Manaf bukan imbuhan - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Disember 28, 2020 13:45 MYT
Disember 28, 2020 13:45 MYT
IPOH: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar Perak bertaraf Exco bukan merupakan satu imbuhan.
Sebaliknya, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, pelantikan dibuat kerana berlaku kekosongan dan berdasarkan kelayakan yang ada pada Abdul Manaf yang telah menjadi ADUN Pengkalan Baharu sejak 2013.
Katanya, selain sebagai salah seorang wakil rakyat yang senior, Abdul Manaf juga mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor korporat sebagai bekas Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kita memilih dia sebagai antara ADUN yang senior. Jadi, kita yakin kepada kebolehan dia, dia ambil tempat itu. Tidak ada imbuhan apa-apa, tidak ada janji apa-apa. Tak ada.
"Tempat itu telah dikosongkan oleh Datuk Zainol (ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin), maka saya perlu isi. Jadi, kita bila nak isi (kekosongan), kita pilih orang pada pendapat kita layak.
"Jadi, di antara kriterianya, dia ADUN senior dan ada pengalaman korporat. Dia dahulunya duduk dalam Lembaga TNB. Jadi, berasaskan kepada pengalaman itu, kita lantik dia. Itu saja," katanya kepada media ketika ditanya berhubung pelantikan Abdul Manaf.
Saarani ditemui selepas rakaman program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini, hari ini.
Sebelum ini, timbul cakap-cakap yang mengatakan pelantikan Abdul Manaf ada kaitan dengan usul undi percaya yang dibawa beliau dalam DUN Perak bulan lalu, yang menyebabkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang jawatan Menteri Besar.
Rabu lalu, Saarani mengumumkan pelantikan Abdul Manaf sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar, di samping ADUN Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik yang baharu.
Selain ADUN Pengkalan Baharu, Abdul Manaf juga adalah Pengarah Bebas TNB sejak Februari 2010 hingga Mei 2018.
Pada 4 Disember lalu, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti terhadap usul undi percaya yang dibawa Abdul Manaf ketika persidangan DUN Perak.
#Exco
#ADUN
#politik
#Saarani Mohamad
#Abdul Manaf Hashim
#usul
#DUN Perak
#Penasihat Khas
#Menteri Besar Perak
#wakil rakyat senior
#pelantikan
#kekosongan
#kelayakan
#ADUN Pengkalan Baharu