Sejumlah 10,423 laman sesawang berjaya disekat MCMC

Pia Ernadya
Ogos 8, 2024 14:06 MYT
Kenyataan MCMC hari ini menyebut daripada jumlah itu, sebanyak 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah terdiri daripada lima kategori utama antaranya perjudian dalam talian diikuti pornografi dan pelanggaran hak cipta. - Gambar fail/FB MCMC
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat sejumlah 10,423 laman sesawang susulan pelanggaran undang-undang.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, daripada jumlah tersebut, 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah dalam lima kategori utama.
Antaranya ialah perjudian dalam talian (4,484), pornografi dalam talian (3,271), pelanggaran hak cipta dalam talian (1,654), pelaburan haram dalam talian (316) dan pelacuran dalam talian( 249).
"Dalam tempoh lima tahun, jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 6,571. Jumlah ini menunjukkan trend penurunan sehingga Ogos 2024.
"Sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna, sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi-agensi penguatkuasaan yang lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Suruhanjaya Sekuriti," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sekatan kepada laman-laman sesawang turut dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah, serta jenayah terancang yang lain.
Bagi memastikan sekatan-sekatan ini kekal berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi, MCMC komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan dan perlindungan termasuklah dalam aspek pengurusan
Domain Name System (DNS).
"Kerjasama MCMC dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
"Ini adalah selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah AKM 1998 termasuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
"Usaha ini juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara (whole-ofnation) daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui (bypass) mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak," jelas kenyataan itu.
#kpdn #MCMC #pornografi #trend penurunan