Pelanggaran bot pelancong: Tujuh individu kini dirawat di HSNZ

Astro Awani
Februari 1, 2022 11:39 MYT
Pada Isnin sepuluh individu cedera selepas bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot nelayan tempatan dalam kejadian di jeti pelancongan Kuala Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Tujuh mangsa tragedi bot bertembung di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut pada Isnin kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Menurut Dr Kasemani, kesemua mangsa yang dikejarkan ke hospital akibat lemas dalam insiden itu telah dipindahkan ke HSNZ pada petang Isnin.
Jelasnya sebelum itu mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dipindahkan untuk rawatan lanjut di HSNZ.
Katanya kesemua mangsa yang berusia empat hingga 70 tahun itu kini dalam keadaan stabil.
"Seorang daripada mangsa sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala empat lagi kanak-kanak dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Pada Isnin sepuluh individu cedera selepas bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot nelayan tempatan dalam kejadian di jeti pelancongan Kuala Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut.
Manakala 21 lagi individu dilaporkan terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.
#bot bertembung #Hospital Sultanah Nur Zahirah #Kuala Besut #Jeti Pelancongan Kuala Besut