Pelanggaran bot pelancong: Pasukan penyiasat ditubuhkan kenal pasti punca
Astro Awani
Februari 1, 2022 22:12 MYT
Februari 1, 2022 22:12 MYT
KUALA TERENGGANU: Satu pasukan penyiasat ditubuhkan segera bagi mengenal pasti punca utama pertembungan bot pelancong dan bot nelayan di muara Sungai Besut pada Isnin.
Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata, pasukan itu terdiri daripada pegawai dan anggota JLM Wilayah Timur.
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan kertas siasatan berhubung insiden berkenaan dapat dilengkapkan dalam tempoh tiga minggu dan akan dihantar kepada penasihat undang-undang Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi tujuan semakan dan proses pendakwaan.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati bot berkenaan telah membawa seramai 29 orang penumpang dan melebihi had yang dibenarkan oleh JLM iaitu seramai dua belas orang sahaja.
Katanya selain itu juga penumpang dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, yang bukan di bawah seliaan jabatan itu dan tiada kawalan daripada JLM.
Jelasnya lagi, siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian.
Katanya lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun 2021 dan pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran bot bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Muhammad Shuhaimi berkata setakat ini jeti penumpang JLM masih lagi ditutup ekoran fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 November 2021 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2022.
Justeru itu, katanya orang ramai yang ingin ke pulau-pulau peranginan dinasihati agar untuk menggunakan jeti yang sah sahaja iaitu di jeti penumpang JLM.
Manakala nakhoda diingatkan agar tidak membawa lebihan muatan dan perlu memastikan penumpang sentiasa memakai jaket keselamatan bagi menjamin keselamatan jika berlaku perkara yang tidak diingini.
Selain itu pengusaha juga diingatkan supaya sentiasa memastikan bot dalam keadaan baik, memiliki lesen, insurans perlindungan dan lesen nakhoda masih sah laku sebelum memulakan operasi.
Pada Isnin sepuluh individu cedera selepas bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot nelayan tempatan dalam kejadian di muara Sungai Besut, Jeti Pelancongan Kuala Besut.