Pelanggan naik angin, ikan kembung RM2 sekilo yang diviralkan rupanya palsu
Astro Awani
Julai 20, 2017 12:32 MYT
Julai 20, 2017 12:32 MYT
Sekumpulan pelanggan di pasar ikan di Pelantar Pendaratan Ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah di sini mengamuk, kerana mendakwa peniaga ikan di situ ‘menipu’ mereka.
Semuanya gara-gara harga ikan kembung yang dijual di pasar itu adalah lebih tinggi daripada apa yang telah ditularkan di laman Facebook.
Keadaan itu menyebabkan hampir 20 peniaga ikan di kawasan itu berada dalam dilema dan tertekan.
Apa yang disebarkan sebelum ini adalah ikan itu dijual dengan harga RM2 sekilogram menyebabkan ada pelanggan yang mendakwa datang jauh, sejauh Perlis untuk membeli ikan itu.
“Apa ni? Mereka kata harga ikan RM2, RM3, dan mereka marah kami. Kami kata kami tidak tahu siapa yang meletakkan harga sebegini,” kata Melati Ladon, salah seorang peniaga ikan di situ.
Seorang lagi peniaga ikan, Khadijah Md Shah berkata ikan itu tidak boleh dijual dengan murah.
“Hendak murah hari-hari tak bolehlah. Ada pasang dia ada surut dia. Kami tidak larat hendak jawab, kita faham mereka hendak harga tiga kilogram RM10.
“Ikut pada bekalanlah, kalau banyak murah. Kalau tidak ada macam biasa ah,” katanya.
Peniaga memberitahu, hanya ikan yang tidak habis dijual semalam atau dua hari lalu dijual pada harga murah iaitu RM10 bagi tiga kilogram.
Seorang lagi peniaga, Sahilan Mustafa berkata kalau hendak ikan yang murah, pelanggan tidak boleh mendapatkan ikan segar.
“Kalau yang murah dapatlah yang tidak segar, kalau yang segar harga RM6, RM5,” katanya.
Tinjauan mendapati, ikan kembung antara yang menjadi pilihan pelanggan kerana dijual pada harga RM5 ke RM6 sekilogram bagi saiz sederhana manakala ikan selar RM5 bagi setiap kilogram.
Harga udang sederhana dijual pada RM30 sekilogram, sotong gred A RM28 sekilogram, sotong saiz sederhana RM25 sekilogram manakala ketam RM25 sekilogram.
Namun, peniaga mendakwa, harga sentiasa berubah bergantung kepada bekalan yang diperolehi nelayan.