Pelanggan dicaj lima bendi RM20, restoran nasi kandar mohon maaf

Astro Awani
Mei 25, 2015 16:53 MYT
Pengarah urusan restoran nasi kandar terbabit, Burhan Mohamed menjelaskan insiden tersebut berlaku disebabkan kesilapan teknikal. -Gambar: Astro AWANI
Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul , Pulau Pinang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gara-gara didakwa mengenakan caj sebanyak RM20 ke atas lima batang sayur bendi.
Timbalan Ketua Penguatkuasa negeri, Chin Ching Chung ketika dihubungi berkata, sepasukan anggota KPDNKK telah melakukan pemeriksaan di restoran terbabit hari ini selepas mendapat aduan.
BACA: KPDNKK 'serbu' restoran jual roti canai telur RM2.50
Menurut aduan, pelanggan terbabit mendakwa, restoran terbabit mengenakan caj tidak munasabah dan insiden itu menjadi viral selepas resit tersebut dimuat naik di laman media sosial.
Berikutan itu, pihaknya telah memberi notis kepada pemilik restoran dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Tempoh tiga hari diberikan kepada restoran berkenaan menjelaskan sebab munasabah kepada KPDNKK sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Sementara itu, pengarah urusan restoran nasi kandar terbabit, Burhan Mohamed menjelaskan insiden tersebut berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang dibuat juruwang pada hari tersebut.
Burhan berkata, harga yang dikenakan sepatutnya ialah RM2 bagi lima batang sayur bendi dan bukannya RM20 sebagaimana yang dinyatakan di dalam resit pelanggan berkenaan.
Tambahnya, kesilapan tersebut jarang berlaku sebelum ini dan beliau memohon maaf kepada pelanggan terbabit serta memintanya untuk bertemu bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Burhan berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyusahkan pelanggan dan berharap insiden itu tidak berlaku lagi dimasa depan.
Mengulas mengenai harga roti telur yang dijual dengan harga RM2.50 sen, beliau menegaskan harga itu adalah berpatutan dengan perkhidmatan yang disediakan di restorannya.
Sebelum ini, KPDNKK telah membuat pemeriksaan d irestoran itu , selepas mendapat aduan roti telur di jual pada harga RM2.50 berbanding harga sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) iaitu RM1.80.
Namun tidak sampai 48 jam pemeriksaan dilakukan, restoran sama didakwa mengenakan caj RM20 untuk 5 batang sayur bendi kepada pelanggan.
#Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 #bukit jambul #KPDNKK #nasi kandar
;