Pelanggan bantu viral ABC Kelapo jadi 'trademark' Kuala Pilah

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 16, 2018 13:17 MYT
ABC di dalam buah tembikai, satu lagi kelainan pada ABC yang dijual di Kedai Laksa Utara yang terletak di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah ini. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
Hasil idea menampilkan variasi minuman dengan tiga menu istimewa - ‘ABC kelapo’, ‘cendol kelapo’ dan ‘air kelapo jando pulang' - seorang bekas pekerja hotel mampu meraih pendapatan sekitar RM600 hingga RM1,500 dalam sehari.
Suhaimi Mohd Nor, 39 tahun, mula membuka kedai yang diberi nama ‘Kedai Laksa Utara’, di sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abd Samad (SMKDAS), Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, pada 2010.
Menceritakan detik memulakan perniagaan, anak jati Kuala Pilah ini berkata, dia pada awalnya membuat keputusan pulang ke kampung halaman dan memulakan perniagaan air batu campur atau ABC bersama isterinya, Nor Nadia Modzir, 33 tahun.
"Pada mulanya, kami hanya menjual ABC secara kecil-kecilan setiap jam 11 pagi hingga 6 petang. Tak sangka, perniagaan mendapat sambutan dan kini semakin berkembang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kedainya baru-baru ini.
Kedai Suhaimi terletak di laluan utama pengguna jalan raya dari Seremban ke Muadzam Shah, Pahang, menjadikannya salah satu lokasi wajib singgah di Kuala Pilah.
Kedai Laksa Utara milik Suhaimi terletak di laluan utama pengguna jalan raya Seremban - Muadzam Shah. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
Idea menggunakan buah kelapa sebagai ‘mangkuk’ minuman tercetus pada 2015 selepas melihat lambakan buah kelapa yang perlu dibuang setiap hari memandangkan mereka turut menjual air kelapa.
Suhaimi pada mulanya hanya secara suka-suka meletakkan minuman ABC di dalam buah kelapa, sebelum ditegur oleh seorang pelanggan yang mencadangkan supaya idea kreatif itu dijadikan menu utama di kedainya.
"Kami memang jual ABC. Selain itu, kami juga ada jual air kelapa. Saya saja-saja cuba, lepas minum air kelapa, jadikan kelapa itu mangkuk untuk ABC. Nampak menarik.
"Tiba-tiba ada pelanggan yang nampak saya buat begitu, dia pula minta menu yang sama, minum ABC dalam mangkuk yang diperbuat dari kelapa. Saya pun cubalah.
Suhaimi sedang menyediakan minuman istimewa untuk pelanggannya. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
"Mula-mula ABC biasa saja, kemudian kami letak ais krim. Lepas itu, pelanggan pulak viralkan minuman ini. Esok lusanya, permintaan pun terus menggalakkan," katanya.
Selain meletakkan ABC di dalam buah kelapa, minuman yang segar dinikmati terutamanya ketika cuaca panas itu juga dicampur dengan pelbagai bahan seperti kacang, laici, agar-agar dan ais krim bagi menambah kelazatan.
Sementara itu, minuman yang diberi nama ‘air kelapo jando pulang’ pula dicampur dengan gula melaka, menjadikan rasanya lebih segar daripada air kelapa biasa.
Minuman yang dinamakan ABC Kelapo Jando Pulang. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
ABC Kelapa. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
Cendol kelapa. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati ABC istimewa di kedai ini, namun mereka juga boleh menikmati hidangan seperti tanjung sangkaya, mi kari, nasi ayam dan burger, selain merasai keenakan laksa utara yang disediakan sendiri Suhaimi.
Begitu juga, ABC yang diletakkan di dalam buah tembikai juga turut disediakan.
Sementara itu, pengunjung gerai berkenaan berkata, meskipun harga bagi satu ‘ABC kelapo’ ialah RM7, dua kali ganda berbanding ABC di kedai-kedai biasa, namun ia berbaloi dengan kemewahan rasa dan campuran bahan-bahan di dalamnya.
Suhaimi berkata, dengan bantuan pelanggan yang memviralkan minumannya, kedainya menerima sambutan yang sangat menggalakkan. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
"Menariknya, menu-menu yang disediakan agak unik, kreatif, dan saya rasa terpanggil untuk berkunjung ke sini setiap kali bila tiba cuaca panas macam ini.
"Menu yang wajib yg saya minta ialah ABC kelapa dan juga roti kukus dan kaya," kata salah seorang pelanggan, Azmi Muda.
"Memang patut rasa minuman ini. Boleh dianggap 'trademark' tempat ini. Sangat sesuai untuk diperkenalkan kepada pelancong atau orang luar.
"Ia jadi satu daya tarikan di sini. Di sini sepanjang jalan ramai yang menjual buah, tempat makan belum ada lagi. Jadi, ini sesuai sebagai salah satu lokasi untuk minum petang," kata seorang lagi pelanggan, Fazila Ali.
Tiga menu istimewa minuman ABC menjadikan kedai ini lain dari yang lain. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
#ABC #Kedai Laksa Utara #kelapa #Kuala Pilah #minuman #Suhaimi Mohd Nor #Tanjung Ipoh
;